Lebih separuh pelajar IPTA pilih bidang STEM sejak 2023

Gambar Hiasan/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Sebanyak 58.6 peratus atau 326,419 daripada keseluruhan 556,556 pelajar yang memasuki peringkat diploma dan ijazah pertama di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dari tahun 2023 hingga Mac 2026 mengikuti bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Penekanan bidang STEM penting untuk memenuhi permintaan tenaga kerja dalam kecerdasan buatan, semikonduktor, automasi, pendigitalan dan teknologi hijau.
  • Kementerian akan perkukuhkan ekosistem pendidikan tinggi supaya program, kapasiti institut dan pembangunan bakat selari keperluan industri dan aspirasi negara.
  • Malaysia memerlukan kira-kira 341,200 tenaga kerja RSET menjelang 2030 untuk menyokong pertumbuhan industri berteknologi tinggi.
  • Sasaran RSET berasaskan nisbah 200 RSET setiap 10,000 pekerja menurut DSTIN 2021-2030, mengambil kira unjuran guna tenaga negara.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim berkata, data Sistem MyMOHES menunjukkan baki 230,137 pelajar atau 41.4 peratus lagi mengikuti bidang bukan STEM.

Menurut beliau, penekanan terhadap bidang STEM penting bagi memenuhi permintaan tenaga kerja dalam sektor kecerdasan buatan, semikonduktor, automasi, pendigitalan dan teknologi hijau.

“Kementerian akan terus memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi supaya penawaran program, kapasiti institusi dan pembangunan bakat sentiasa selari dengan keperluan industri serta aspirasi pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Wira Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, Adam memaklumkan Malaysia memerlukan kira-kira 341,200 tenaga kerja dalam kalangan penyelidik, saintis, jurutera dan teknologis (RSET) menjelang 2030 bagi menyokong pertumbuhan industri berteknologi tinggi.

Jumlah itu berdasarkan sasaran nisbah 200 tenaga kerja RSET bagi setiap 10,000 tenaga kerja seperti ditetapkan dalam Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030.

Sasaran berkenaan turut mengambil kira unjuran guna tenaga negara sekitar 17.06 juta orang menjelang 2030.

“Pendekatan yang digunakan bukan berdasarkan bilangan mutlak jurutera mengikut disiplin tertentu, sebaliknya melalui pembangunan ekosistem RSET secara menyeluruh,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.