Wabak Ebola ancam ekonomi Afrika, kerugian diunjur cecah AS$3.6 bilion

Seorang petugas kesihatan sedang menunggu proses pengebumian mangsa yang disyaki dijangkiti Ebola di Kem Penempatan Orang Hilang Tempat Tinggal (IDP) Kigonze./ REUTERS

GENEVA, 30 Jun – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran wabak Ebola yang sedang melanda beberapa negara di Afrika berpotensi menyebabkan kerugian ekonomi sehingga AS$3.6 bilion serta menghapuskan ratusan ribu peluang pekerjaan jika gagal dibendung dengan segera.

RINGKASAN BERITA AI
  • Varian Bundibugyo telah menjangkiti 1,307 individu dan meragut 377 nyawa di Republik Demokratik Congo.
  • Beberapa kes dilaporkan di Uganda; pakar memberi amaran wabak berisiko merebak ke negara jiran termasuk Sudan Selatan.
  • UNDP menegaskan wabak boleh dikawal dengan sokongan antarabangsa; kegagalan segera berpotensi mencetuskan krisis pembangunan serantau.

Menurut laporan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNDP), senario paling buruk menunjukkan wabak itu boleh mencetuskan krisis pembangunan serantau sekiranya penularan merebak ke lebih banyak negara di benua berkenaan.

Sejak diisytiharkan pada 15 Mei lalu, wabak Ebola varian Bundibugyo telah menjangkiti 1,307 individu dan meragut 377 nyawa di Republik Demokratik Congo (DRC), menurut kerajaan negara itu.

Selain DRC, beberapa kes turut dilaporkan di Uganda, manakala pakar kesihatan memberi amaran penyakit berkenaan berisiko merebak ke negara jiran termasuk Sudan Selatan.

Wakil Residen UNDP di Congo, Damien Mama, berkata wabak itu masih boleh dikawal sekiranya masyarakat antarabangsa menyediakan sumber dan bantuan mencukupi bagi memperkukuh usaha tindak balas kesihatan.

“Kegagalan bertindak segera bukan sahaja akan memburukkan krisis kesihatan awam, malah berpotensi mencetuskan krisis pembangunan yang berpanjangan di rantau berkenaan dan seluruh benua Afrika,” katanya.

UNDP menggariskan tiga kemungkinan perkembangan wabak itu. Dalam senario terbaik, jika penularan berjaya dikekang di DRC dan Uganda, kerugian kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) DRC dianggarkan mencecah AS$1 bilion.

Namun, dalam senario paling buruk, wabak itu dijangka merebak ke negara lain termasuk Rwanda dan Angola, selain berlaku serentak dengan peningkatan kos bahan api susulan krisis di Iran.

Keadaan itu diunjurkan mengurangkan KDNK benua Afrika sebanyak AS$3.6 bilion serta menyebabkan kira-kira 328,000 kehilangan pekerjaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.