Bekas Menteri Pendidikan Indonesia dijatuhi hukuman 10 tahun penjara

Nadiem Makarim, bekas Menteri Pendidikan Indonesia dan pengasas bersama syarikat e-hailing Gojek, berdepan pertuduhan menyalahgunakan kuasa eksekutif di Mahkamah Jakarta Pusat, Jakarta./ REUTERS

JAKARTA, 30 Jun – Bekas Menteri Pendidikan Indonesia, Nadiem Makarim, dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun selepas Mahkamah Rasuah Indonesia pada Selasa mendapati beliau bersalah atas beberapa pertuduhan berkaitan rasuah dalam perolehan komputer riba Google Chromebook untuk sekolah-sekolah di negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dijatuhi hukuman penjara 10 tahun selepas didapati bersalah menyalahgunakan kuasa dalam perolehan Google Chromebook untuk sekolah.
  • Diperintahkan membayar denda Rp1 bilion dan memulangkan lebih Rp800 bilion sebagai keuntungan peribadi dari urus niaga.
  • Pendakwaan anggar kerugian negara sekitar AS$125 juta; tertuduh nafikan semua pertuduhan dan dakwa motif politik, menjejaskan sentimen pelabur.

Panel hakim yang diketuai Hakim Purwanto Abdullah memutuskan Makarim, 41, bersalah kerana menyalahgunakan kuasa sehingga mengakibatkan kerugian kepada negara.

Bagaimanapun, mahkamah membebaskan beliau daripada pertuduhan memperkayakan diri secara langsung.

Selain hukuman penjara, mahkamah turut mengarahkan bekas pengasas bersama syarikat teknologi Gojek itu membayar denda sebanyak Rp 1 bilion serta memulangkan lebih Rp 800 bilion yang diputuskan sebagai keuntungan peribadi diperoleh menerusi urus niaga berkenaan.

Pendakwaan mendakwa Makarim, yang menerajui Kementerian Pendidikan Indonesia dari 2019 hingga 2024 di bawah pentadbiran Joko Widodo, menyalahgunakan kuasa eksekutif dalam pelaksanaan perolehan komputer riba Google Chromebook bagi sekolah-sekolah di seluruh negara.

Pihak pendakwa berkata tindakan itu mengakibatkan kerugian kepada negara dianggarkan mencecah AS$125 juta.

Makarim bagaimanapun menafikan semua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya dan menyifatkan kes berkenaan bermotifkan politik.

Dakwaan itu turut mendapat sokongan beberapa ahli akademik serta aktivis hak asasi manusia di Indonesia.

Keputusan mahkamah itu dijangka memberi kesan terhadap sentimen pelabur berikutan kebimbangan berterusan mengenai tadbir urus dan ketidaktentuan dasar di Indonesia.

Sementara itu, puluhan pemandu perkhidmatan e-hailing Gojek berhimpun di luar kompleks mahkamah di Jakarta sebagai tanda sokongan terhadap Makarim dengan membawa sepanduk menggesa beliau dibebaskan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.