
BANDAR ABBAS, 30 Jun – Beberapa kapal dilihat kembali belayar melalui Selat Hormuz, di pesisir Bandar Abbas, Iran, pada Selasa ketika usaha diplomatik antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) bagi menamatkan konflik yang berlarutan memasuki fasa baharu.
- Usaha diplomatik AS-Iran memasuki fasa baharu, rundingan dijangka di Doha minggu ini.
- Iran mengumumkan tiada pertemuan di Doha selepas insiden serangan peluru berpandu hujung minggu lalu.
- Mereka bersetuju tempoh sekurang-kurangnya 60 hari untuk laksanakan memorandum persefahaman 14 perkara, termasuk rundingan nuklear.
- Perkembangan rundingan perlahan dengan pertuduhan saling melanggar syarat, menjejaskan usaha mencapai perdamaian kekal.
Perkembangan itu berlaku ketika pasukan perunding kedua-dua negara dijangka mengadakan rundingan di Doha minggu ini.
Bagaimanapun, Iran pada Isnin memaklumkan bahawa tiada sebarang pertemuan antara Tehran dan Washington dijadualkan berlangsung di ibu negara Qatar itu susulan insiden serangan peluru berpandu oleh kedua-dua pihak pada hujung minggu lalu yang menguji keberkesanan gencatan senjata sementara bagi menamatkan perang yang berlarutan selama empat bulan.
Sebelum ini, Iran dan AS bersetuju memberi tempoh sekurang-kurangnya 60 hari untuk melaksanakan memorandum persefahaman 14 perkara yang bertujuan melanjutkan gencatan senjata yang dicapai pada April lalu, membincangkan program nuklear Iran serta merundingkan perjanjian damai secara kekal.
Namun, kemajuan rundingan dilihat masih perlahan apabila kedua-dua pihak saling menuduh melanggar syarat yang dipersetujui.
Konflik memuncak selepas AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari lalu, menyebabkan trafik perkapalan di Selat Hormuz, laluan maritim strategik yang sebelum ini mengendalikan kira-kira satu perlima perdagangan minyak dunia hampir terhenti sepenuhnya.