
KUALA LUMPUR, 29 Jun – Penawaran opsyen Pinjaman Boleh Ubah Akademik (PBUA) fasa kedua membuka peluang kepada graduan untuk menyusun semula kaedah bayaran balik pinjaman sekali gus meringankan beban kewangan selepas tamat pengajian.
- Fasa kedua PBUA berlangsung 1 Julai hingga 1 Ogos, menyasarkan 59,000 graduan tamat pengajian pada atau sebelum 31 Disember 2024.
- Graduan disarankan menyemak portal Myself untuk status kelayakan sebelum membuat pilihan.
- Selesaikan tunggakan pinjaman terlebih dahulu bagi yang mempunyai baki tertunggak sebelum memilih opsyen.
- PBUA dianggap lebih kompetitif dan memberi fleksibiliti, pelajar perlu membuat pertimbangan wajar sebelum memilih.
Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Jamalulail Abu Bakar berkata, inisiatif itu memberi lebih fleksibiliti kepada graduan dalam mengurus komitmen kewangan mereka.
“Fasa kedua bermula 1 Julai hingga 1 Ogos ini menyasarkan 59,000 graduan yang tamat pengajian pada atau sebelum 31 Disember 2024.
“Harapan kami daripada pelajar ialah menyemak portal Myself sama ada layak atau tidak, dan bagi yang ada tunggakan, selesaikan dahulu sebelum membuat pilihan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Selamat Pagi Malaysia, di Angkasapuri, Kota Media di sini hari ini.
PBUA disifatkan sebagai lebih kompetitif serta memberi kelebihan kepada mereka yang memenuhi kriteria. Sehubungan itu, pelajar perlu membuat pertimbangan wajar sebelum memilih opsyen tersebut.
Fasa pertama telah berlangsung pada 5 Januari sehingga 5 Februari dengan merekodkan sebanyak 23,858 permohonan, dan daripada jumlah itu, 23,000 pelajar telah memilih PBUA.