
KUALA LUMPUR, 28 JUN – Pemain badminton remaja negara, Low Zi Yu menyasarkan dua gelaran pada Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) 2026 yang sedang berlangsung di Yatsushiro, Jepun.
- Zi Yu akan beraksi dalam beregu wanita bersama Genevie Lim dan beregu campuran bersama Ahmad Redzuan Zulwaqqarizal Ahmad.
- Pengalaman kejohanan bertaraf tinggi bantu menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang dan corak permainan lawan.
- Pengalaman itu juga meningkatkan keyakinan untuk memberi persembahan terbaik dalam kejohanan remaja berikutnya.
- Skuad muda negara juara Kumpulan D selepas menewaskan Indonesia 2-1, menggunakan sistem kiraan mata baharu (55-51, 49-55, 55-48).
Pemain berusia 16 tahun itu akan beraksi dalam acara beregu wanita bersama Genevie Lim serta beregu campuran bersama Ahmad Redzuan Zulwaqqarizal Ahmad di Yatsushiro City General Gymnasium.
“Sasaran saya sudah tentu mahu meraih dua gelaran jika berpeluang. Beraksi dalam kejohanan bertaraf tinggi seperti ini memberi banyak pengalaman, terutama dari segi menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang dan corak permainan lawan.
“Ia juga membantu meningkatkan keyakinan saya. Jadi, apabila kembali beraksi dalam kejohanan remaja, saya lebih yakin untuk memberikan persembahan terbaik,” katanya.
Zi Yu mengakui pengalaman beraksi di kejohanan berprestij sebelum ini, termasuk Jelajah Dunia dan Piala Uber berjaya membantunya mengharungi kempen kali ini dengan baik termasuk dapat menimba pengalaman sewaktu berdepan pemain bertaraf dunia.
Sementara itu, barisan pemain muda negara berjaya menamatkan kempen Kumpulan D dalam acara berpasukan BAJC 2026 dengan cemerlang apabila muncul juara selepas menewaskan musuh tradisi, Indonesia 2-1 di bandar Yatsushiro hari ini.
Skuad negara memenangi perlawanan menerusi set penentuan dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan dengan keputusan 55-51, 49-55, 55-48, menggunakan sistem kiraan mata baharu.