
LANGKAWI, 28 Jun – Kira-kira 10,000 individu di Semenanjung telah menggunakan kemudahan akses awal BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) yang mula dilaksanakan semalam sebagai persediaan sebelum mekanisme baharu subsidi diesel dikuatkuasakan sepenuhnya pada 1 Julai ini.
- Akses awal berjalan lancar, membolehkan pengguna membiasakan diri dengan sistem pembelian diesel bersubsidi menggunakan MyKad di stesen minyak.
- Semasa akses awal diesel dijual RM2.15 seliter; harga subsidi RM2.10 seliter berkuatkuasa 1 Julai.
- Penerima sedia ada BUDI Diesel dipindahkan secara automatik tanpa perlu mengemukakan permohonan baharu atau dikenakan caj tambahan.
- Mulai 1 Julai, kira-kira 700,000 pemilik kenderaan diesel persendirian layak menikmati diesel subsidi RM2.10 seliter melalui penggunaan MyKad.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pelaksanaan akses awal itu berjalan lancar tanpa sebarang masalah, sekali gus membolehkan pengguna membiasakan diri dengan sistem pembelian diesel bersubsidi menggunakan pengesahan MyKad di stesen minyak.
Menurut beliau, sepanjang tempoh akses awal tersebut, diesel bersubsidi dijual pada harga RM2.15 seliter sebelum harga subsidi RM2.10 seliter berkuat kuasa kepada rakyat Malaysia yang layak bermula 1 Julai.
Beliau berkata, penerima sedia ada di bawah skim BUDI Diesel akan dipindahkan secara automatik ke mekanisme baharu tanpa perlu mengemukakan permohonan baharu atau dikenakan sebarang caj tambahan.
“Jadi kita juga memberi ruang di mana mereka juga boleh memohon untuk mendapat kuota BUDI Diesel, di mana kuota itu akan dipindahkan kepada individu berkenaan untuk kegunaan kenderaan pikap dan jip yang biasa digunakan oleh peniaga-peniaga kecil. Jadi inilah antara penambahbaikan yang telah dibuat oleh kerajaan untuk memastikan pelaksanaan subsidi ini berjalan lebih lancar pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan produk pelancongan ATV Safari di Telaga Tujuh, di sini.
Dalam pada itu, Datuk Seri Amir Hamzah turut meninjau pelaksanaan akses awal BUDI Diesel di sebuah stesen minyak di Kelibang, Langkawi.
Bermula 1 Julai, kira-kira 700,000 pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak akan menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter menerusi penggunaan MyKad di semua stesen minyak di seluruh negara.