
SPIELBERG, 26 Jun – Juara dunia dua kali, Fernando Alonso menegaskan komitmennya bersama Aston Martin F1 Team, namun tidak menolak kemungkinan meninggalkan Formula One (F1) untuk menyertai siri perlumbaan lain pada musim depan.
- Alonso kekal bersemangat dan akan membuat keputusan tentang masa depannya selepas rehat musim panas.
- Beliau tidak berpuas hati dengan jentera hibrid baharu, dan kepuasan kategori perlumbaan jadi faktor utama penentu masa depan.
- Walau prestasi hambar dan kritikan media sosial, beliau yakin projek Aston Martin dengan Adrian Newey dan enjin Honda.
Pemandu berusia 44 tahun itu berkata, beliau masih bersemangat dan berada pada tahap prestasi terbaik meskipun pasukan itu memulakan musim dengan hambar.
Bercakap menjelang Austrian Grand Prix hujung minggu ini, Alonso menegaskan beliau mahu terus berlumba sebagai sebahagian daripada projek Aston Martin yang diterajui oleh bilionair Kanada, Lawrence Stroll.
“Saya masih mahu berlumba kerana saya rasa pantas dan bermotivasi. Saya cintakan apa yang saya lakukan. Sama ada saya kekal dalam F1 atau tidak, itu perkara berbeza,” katanya.
Alonso turut menjelaskan bahawa beliau akan membuat keputusan mengenai masa depannya selepas rehat musim panas F1.
Dalam masa sama, beliau mengakui tidak berpuas hati dengan dengan jentera hibrid baharu F1, sambil menegaskan kepuasan terhadap kategori perlumbaan menjadi faktor penting dalam menentukan hala tujunya.
Ketua pasukan di litar Aston Martin, Mike Krack, sebelum ini menyatakan hasrat untuk mengekalkan Alonso, namun pelumba Sepanyol itu menegaskan keputusan akhir tetap di tangannya.
Selepas tujuh perlumbaan musim ini, Aston Martin hanya mengutip satu mata, dengan Alonso menyifatkan kritikan di media sosial terhadap pasukan itu sebagai melampau.
“Kami berdepan saat sukar dan menjadi sasaran mudah kerana prestasi semasa yang kurang memuaskan,” katanya.
Namun, beliau tetap yakin terhadap masa depan pasukan tersebut, terutama dengan kehadiran jurutera terkenal Adrian Newey serta kerjasama enjin bersama Honda.
“Saya percaya dengan projek ini. Kami ada barisan terbaik,” tambahnya.
Sementara itu, spekulasi mengenai perpindahan ke Alpine F1 Team dilihat sukar menjadi kenyataan apabila penasihat eksekutif pasukan itu, Flavio Briatore memberi bayangan tiada kekosongan tempat.
Beliau memuji prestasi pemandu muda Franco Colapinto yang semakin meningkat, serta Pierre Gasly yang telah mengutip 41 daripada 57 mata pasukan musim ini.
“Jika prestasi mereka kekal konsisten dan hubungan dalam pasukan baik, mungkin kami kekalkan barisan sedia ada,” kata Briatore.
Situasi ini menjadikan masa depan Alonso terus menjadi perhatian, dengan keputusan penting dijangka dibuat selepas rehat pertengahan musim.- AFP