
KUALA LUMPUR, 26 Jun – Penemuan ratusan ribu imej penderaan seksual serta penahanan 117 pemangsa kanak-kanak sejak 2024 mengukuhkan keperluan pelaksanaan mekanisme pengesahan umur di platform media sosial.
- Pengesahan umur penting untuk lindungi kanak-kanak daripada eksploitasi dan ancaman jenayah siber.
- Mekanisme ini bukan bertujuan menyekat akses internet kanak-kanak tetapi mengurangkan risiko diganggu pemangsa.
- MCMC menegaskan pengesahan umur sebagai benteng mengurangkan risiko daripada individu tidak dikenali.
- Kanak-kanak muda belum matang menilai niat penghubung asing, jadi perlindungan digital perlu disegerakan.
Ini bagi melindungi golongan itu daripada eksploitasi dan ancaman jenayah siber.
Timbalan Pengarah Urusan (Pembangunan), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Eneng Faridah Iskandar menegaskan, mekanisme pengesahan umur di platform media sosial bukan bertujuan menyekat kanak-kanak daripada melayari internet.
Ia sebaliknya menjadi benteng mengurangkan risiko mereka dihubungi individu tidak dikenali yang berpotensi mengeksploitasi golongan itu.
“Kita semua sedia maklum apabila mempunyai akaun media sosial, maka kita boleh dihubungi. Dan sesiapa sahaja boleh menghubungi kita untuk apa sahaja tujuan yang adakalanya kita sendiri pun tidak pasti.
“Jadi kita rasakan pada usia yang sangat muda ini, mereka belum mempunyai kematangan untuk menilai faktor mengapa terdapat orang yang tidak dikenali tiba-tiba menghubungi mereka untuk berkawan,” katanya.
Eneng Faridah sebelum itu menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.