
KUALA LUMPUR, 25 Jun – Jumlah kehilangan pekerjaan menurun 20 peratus kepada 6,197 pekerja setakat 22 Jun 2026, berbanding 7,766 orang pada Mei lalu.
- Kehilangan pekerjaan kekal terkawal, sekitar 0.04 peratus daripada penduduk bekerja.
- MYFutureJobs catat peningkatan penempatan 55% dan jumlah penempatan 62,644 setakat 2026.
- MTEN menyelaras langkah mitigasi termasuk perlindungan pekerja, kelangsungan perniagaan dan kestabilan bekalan.
- Pakej bantuan: RM5 bilion Kestabilan PKS, RM5 bilion jaminan SJPP, PACE lebih RM710 juta, dan RM100 juta untuk latihan serta penempatan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata trend kehilangan pekerjaan setakat ini kekal terkawal dan hanya merangkumi kira-kira 0.04 peratus daripada keseluruhan penduduk bekerja.
Jelasnya, kerajaan memandang serius isu kehilangan pekerjaan dan pengecilan operasi perniagaan, khususnya ketika ekonomi global berdepan tekanan harga tenaga, gangguan rantaian bekalan serta ketidaktentuan geopolitik.
“Setiap kehilangan pekerjaan bukan sekadar angka kerana turut membabitkan pendapatan keluarga, komitmen isi rumah dan keyakinan rakyat terhadap masa depan ekonomi negara,” katanya pada sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, MYFutureJobs merekodkan peningkatan penempatan pekerjaan sebanyak 55 peratus, daripada 12,119 orang pada April kepada 18,756 orang sehingga 12 Jun lalu.
Perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan penempatan pekerjaan bagi tahun 2026 setakat ini mencecah 62,644 orang, merangkumi pencari kerja melalui portal MYFutureJobs serta penerima manfaat Sistem Insurans Pekerjaan.
Pasaran buruh juga kekal berdaya tahan apabila jumlah tenaga buruh meningkat kepada 17.33 juta orang setakat April 2026, manakala penduduk bekerja bertambah kepada 16.82 juta orang.
“Kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.9 peratus dan tidak berubah berbanding bulan sebelumnya, mencerminkan kestabilan aktiviti ekonomi semasa,” katanya.
Menurutnya lagi, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) menyelaras langkah mitigasi secara bersepadu merangkumi perlindungan pekerja, kelangsungan perniagaan, kestabilan bekalan dan daya tahan ekonomi negara.
Bagi memastikan operasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta industri tempatan terus bertahan, kerajaan menyediakan Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS berjumlah RM5 bilion.
Sehingga 18 Jun 2026, pembiayaan melebihi RM700 juta diluluskan kepada lebih 1,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Kerajaan turut menyediakan kemudahan jaminan pembiayaan melalui dana tambahan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) berjumlah RM5 bilion,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pakej Daya Tahan Ekonomi Progressive Acceleration for Capability and Employment (PACE) bernilai lebih RM710 juta dilaksana sebagai intervensi menyeluruh bagi melindungi pekerjaan dan menyokong kelangsungan perniagaan.
Sebanyak RM100 juta pula diperuntukkan melalui HRD Corp bagi latihan dan penempatan kerja, disokong platform MYFutureJobs untuk mempercepatkan proses padanan pekerjaan, khususnya bagi belia dan kumpulan rentan.