
KUALA LUMPUR, 24 Jun – Kejohanan Tenis Terbuka Kuala Lumpur (KL Open) 2026 bakal kembali memeriahkan kalendar tenis negara dengan tawaran hadiah wang tunai yang lebih tinggi serta penyertaan meluas dari rantau ASEAN.
- Kejohanan menampilkan lapan kategori termasuk Masters dan Veteran, menawarkan penyertaan lebih meluas berbanding sirkit kebangsaan lain.
- Jumlah hadiah dinaikkan kepada lebih RM80,000 dan tambahan baucar Fila bernilai RM15,000 hasil sokongan penaja utama.
- Acara di Pusat Tenis Negara dari 28 Julai hingga 2 Ogos, jadi medan persiapan penting untuk SUKMA Selangor dan Sukan SEA 2027.
Presiden Persatuan Lawn Tenis Kuala Lumpur (KLLTA), Mirzan Mahathir berkata kejohanan itu mengekalkan keunikan tersendiri menerusi lapan kategori yang dipertandingkan termasuk kategori Masters dan Veteran yang jarang ditawarkan dalam sirkit kebangsaan lain.
“KL Open ini satu kejohanan yang mempunyai lapan kategori. Selalunya dalam sirkit kebangsaan tidak ada kategori lain seperti Masters dan Veteran. Oleh sebab itu, lebih ramai pemain datang kerana mereka juga boleh mengambil bahagian dalam pertandingan ini,” katanya pada sidang media Kejohanan Terbuka Kuala Lumpur di ibu negara.
Selain penyertaan pemain dari Indonesia, Thailand dan Korea Selatan, edisi 2026 turut menarik minat pemain dari Filipina.
Penganjur mengesahkan telah menerima permohonan slot wildcard daripada pemain Filipina yang berminat menyertai kejohanan berkenaan selepas melihat kualiti pertandingan yang ditampilkan pada edisi terdahulu.
Dalam perkembangan sama, jumlah hadiah wang tunai terkumpul bagi kejohanan itu turut ditingkatkan hasil sokongan penaja utama, CIMB serta rakan strategik lain.
Jika sebelum ini hadiah keseluruhan berjumlah sekitar RM70,000, edisi kali ini menawarkan lebih RM80,000 selain tambahan baucar tajaan Fila bernilai RM15,000.
Kejohanan yang akan berlangsung di Pusat Tenis Negara dari 28 Julai hingga 2 Ogos depan itu dijangka menjadi medan persiapan penting buat atlet yang bakal beraksi pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor serta Sukan SEA 2027.
Antara pemain tumpuan negara yang dijangka beraksi ialah Hao Sheng, Darrshan Suresh Kumar, Imran Daniel Hazli dan Daania Daniella Hazli.
Mirzan berharap pemain Malaysia mampu muncul juara dalam kejohanan berprestij itu selain menjadikannya platform terbaik untuk menilai tahap prestasi menjelang temasya utama yang bakal disertai.
“Kita harap pemain Malaysia akan muncul sebagai juara dalam Terbuka Kuala Lumpur ini. Ia menjadi pentas untuk mereka menilai tahap permainan dan memperbaiki prestasi sebagai persediaan bukan sahaja untuk SUKMA, malah Sukan SEA tahun depan,” katanya.