Ronaldo cipta sejarah, Portugal belasah Uzbekistan 5-0

Foto REUTERS

HOUSTON, 24 Jun – Cristiano Ronaldo menjadi pemain pertama dalam sejarah yang menjaringkan gol dalam enam kempen Piala Dunia selepas kapten Portugal itu meledak dua gol ketika membantu pasukannya membelasah Uzbekistan 5-0.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemenangan besar meletakkan Portugal hampir layak ke pusingan kalah mati dan jadi jawapan kepada pengkritik Ronaldo.
  • Ronaldo meraikan dengan "Siu" di hadapan 68,777 penyokong; jumlah gol Piala Dunia beliau kini 10, melepasi Eusébio.
  • Gol Uzbekistan dibatalkan selepas VAR mengesahkan kekasaran terhadap João Cancelo; Nematov gol sendiri dan Leão melengkapkan kemenangan.

Kemenangan besar di Houston itu meletakkan Portugal di ambang kelayakan ke pusingan kalah mati, sekali gus menjadi respon terbaik buat pengkritik pemain berusia 41 tahun tersebut.

Gol pembukaan Ronaldo pada minit keenam mencipta sejarah apabila beliau menjadi pemain pertama yang menjaringkan gol dalam enam edisi Piala Dunia berturut-turut sejak penampilan pertamanya pada tahun 2006, mengatasi rekod yang dipegang oleh Lionel Messi.

Bekas bintang Manchester United, Real Madrid dan Juventus itu meraikan jaringan tersebut dengan aksi ikonik “Siu” di hadapan 68,777 penyokong.

Selepas Nuno Mendes menjadikan kedudukan 2-0, Ronaldo menambah gol kedua peribadinya enam minit sebelum rehat menerusi penyudah tenang.

Jaringan itu menjadikan jumlah gol Piala Dunia beliau meningkat kepada 10 gol, mengatasi rekod mana-mana pemain Portugal termasuk legenda negara itu, Eusébio.

Sebelum perlawanan ini, Ronaldo hadir dengan rekod 143 gol antarabangsa, jumlah tertinggi dalam bola sepak lelaki antarabangsa.

Namun, prestasinya di pentas tertinggi kebelakangan ini sering dipersoalkan.

Dalam aksi pembukaan menentang Congo yang berakhir seri 1-1, beliau gagal memanfaatkan dua peluang terbaik sehingga mencetuskan desakan agar jurulatih Roberto Martínez menggugurkannya.

Sebaliknya, Martínez terus memberi kepercayaan kepada kaptennya itu, yang menerima sorakan gemuruh daripada penyokong ketika sesi pemanasan badan dan setiap kali wajahnya dipaparkan di skrin stadium.

Uzbekistan, yang dibimbing juara dunia 2006 dari Itali, Fabio Cannavaro, gagal menandingi kehebatan Portugal.

Mendes menjadikan kedudukan 2-0 menerusi sepakan percuma pada minit ke-17, sebelum Uzbekistan menyangka mereka berjaya merapatkan jurang hasil jaringan jarak jauh Azizjon Ganiev, namun gol itu dibatalkan selepas semakan VAR mendapati berlaku kekasaran ke atas João Cancelo.

Ronaldo kemudian menjaringkan gol ketiga Portugal menerusi penyudah terkawal dalam situasi satu lawan satu dengan penjaga gol Abduvohid Nematov.

Beliau hampir melengkapkan hatrik, namun percubaannya diselamatkan Nematov.

Dari sepakan penjuru, Portugal memperoleh gol keempat apabila bola terkena Nematov sebelum masuk ke gawang sendiri.

Pemain gantian Rafael Leão melengkapkan kemenangan bergaya Portugal menerusi gol kelima pada minit ke-87.

Sebelum perlawanan ini, Ronaldo tidak menjaringkan sebarang gol dan hanya mencatat satu bantuan jaringan dalam 10 penampilan terakhir di kejohanan utama antarabangsa (Piala Dunia dan Kejohanan Eropah).

Bagaimanapun, beliau tetap menikmati musim cemerlang bersama Al Nassr FC dengan 28 gol dalam 30 perlawanan liga.

Portugal akan menamatkan aksi Kumpulan K menentang Colombia pada Sabtu.

Colombia sebelum ini menewaskan Uzbekistan 3-1 dan akan berdepan Congo dalam satu lagi aksi kumpulan sama. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.