
BINTULU, 21 Jun – Perjanjian antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) akan dimuktamadkan tidak lama lagi.
- Kerajaan akan memastikan penyelesaian memberi manfaat kepada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
- Parameter dan prinsip asas ditetapkan bersama oleh saya dan Premier Sarawak, dan diumumkan di Parlimen.
- Beliau menyampaikan kenyataan itu pada Majlis Penyerahan Cek susulan penukaran status Pelabuhan Bintulu kepada Pelabuhan Negeri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya akan memastikan penyelesaian terhadap isu antara kedua-dua syarikat itu memberi manfaat kepada Kerajaan Persekutuan dan juga kerajaan negeri.
“Yang mula menetapkan parameter atau prinsip asas itu diputuskan bersama oleh saya dan Premier Sarawak. Saya juga telah mengumumkannya di Parlimen.
“Kini, sekurang-kurangnya beberapa perkara pokok telah dipersetujui dan insya-Allah, tidak lama lagi kita boleh memuktamadkan perjanjian antara Petronas dan PETROS,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Cek Susulan Penukaran Status Pelabuhan Bintulu Daripada Pelabuhan Persekutuan Kepada Pelabuhan Negeri di sini.