
KUALA LUMPUR, 21 Jun – Penurunan harga diesel disambut baik, rata-rata pengguna yang ditemui RTM di ibu negara menyifatkan langkah itu mampu memberi sedikit kelegaan, terutama dalam mengurangkan perbelanjaan harian.
- Pengguna lori menghargai penurunan harga diesel, berharap harga itu dikekalkan untuk manfaat jangka panjang.
- Penurunan dijangka mengurangkan kos pengangkutan dan membantu menurunkan harga barangan di kedai borong dan runcit.
- Kesan positif kepada pengurusan perbelanjaan isi rumah, memberi kelegaan serta ruang guna lebihan untuk keperluan keluarga.
Bagi pengguna kenderaan diesel, Shahril Mat Jedi, pengurangan harga bahan api itu dilihat memberi manfaat kepada rakyat, termasuk mereka yang menggunakan kenderaan tersebut bagi tujuan pekerjaan.
“Saya rasa ini sangat baik. Sebagai pengguna lori, saya bersyukur dengan keadaan sekarang. Saya harap perkara ini dapat dikekalkan,” katanya.
Menurut Adam Azizi, penurunan harga diesel diharap dapat memberi kesan positif kepada kos pengangkutan, yang merupakan antara komponen utama dalam rantaian bekalan barangan.
“Saya sangat gembira dengan pengumuman Perdana Menteri hari ini mengenai penurunan harga diesel kerana ia dapat memberi kemudahan serta meringankan beban pemandu lori.
“Saya juga berharap dengan pengurangan harga diesel ini, ia turut dapat menurunkan harga barangan di kedai borong, kedai runcit dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, Husni Hussein menyifatkan penurunan harga diesel sebagai perkembangan positif yang memberi ruang kepada rakyat menguruskan perbelanjaan dengan lebih baik.
“Ia sedikit sebanyak meringankan perbelanjaan rakyat. Alhamdulillah, rakyat juga boleh menggunakan lebihan untuk membeli perbelanjaan keluarga,” katanya.
Bagi Shahizan Abdul Manaf, sebarang pengurangan kos asas seperti bahan api dilihat dapat membantu meringankan cabaran kewangan, terutama ketika berdepan peningkatan kos sara hidup.
“Pada saya sebagai pengguna, saya menerima baik perkara ini kerana apabila harga diesel turun, diharapkan harga barangan juga akan memberi kesan sama,” katanya.