
KLANG, 20 Jun – Rundingan antara Malaysia dan Thailand berhubung isu import udang masih berada pada peringkat perbincangan intensif, dengan kedua-dua negara sedang mencari penyelesaian terbaik terutama melibatkan aspek keselamatan makanan dan biosekuriti.
- Isu dibawa ke peringkat lebih tinggi dengan rundingan di peringkat Perdana Menteri bagi mencari penyelesaian terbaik dan mempertahankan kepentingan negara.
- Keutamaan diberikan kepada keselamatan makanan dan biosekuriti untuk mengekalkan standard kesihatan serta keselamatan dalam rantaian bekalan makanan laut.
- Kementerian menerima maklum balas dari Thailand dan kini menilai, memvalidasi serta mengaudit bagi memastikan pematuhan piawaian biosekuriti dan kawalan import diperketat.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, isu tersebut kini telah dibawa ke peringkat lebih tinggi dan sedang diteliti secara mendalam bagi memastikan kepentingan negara terpelihara tanpa menjejaskan hubungan perdagangan dua hala.
“Sekarang di peringkat rundingan sebab bila sampai ke peringkat Perdana Menteri, kita bincang secara intensif untuk cari penyelesaian terbaik. Kita cuba mempertahankan hak kita dan mereka juga melihat bagaimana untuk memastikan kejernihan dalam pengeksportan ikan dan udang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Road To MAHA 2026 peringkat Zon Tengah di sini hari ini.
Langkah tersebut, jelas beliau, penting bagi memastikan keselamatan makanan negara tidak terjejas serta mengekalkan standard kesihatan dan keselamatan dalam rantaian bekalan makanan laut.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Isham Ishak ketika mengulas mengenai maklum balas soal selidik dihantar kementerian berkenaan kepada Thailand berkata Malaysia telah menerima maklum balas itu dan ia sedang dalam proses penilaian.
“Maklum balas itu kita dah terima dan apa yang perlu kita buat adalah menilai, membuat validasi dan mengaudit maklum balas yang diterima supaya ia memenuhi perkara berkaitan biosekuriti,” katanya.
Isu import udang itu turut dilihat sebagai sebahagian daripada usaha lebih besar kerajaan dalam memperkukuh aspek keterjaminan makanan negara, termasuk memperketat kawalan import bagi produk berisiko.
Dalam masa sama, Malaysia dan Thailand dijangka terus berunding bagi mencapai persetujuan yang seimbang antara keperluan perdagangan dan pematuhan piawaian keselamatan makanan antarabangsa.