SARA Sarawak catat 99 peratus kadar penebusan

Menteri Kewangan ll, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika menghadiri Program Penunaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di Dewan Mahligai Gading Lundu, hari ini – foto BERNAMA

LUNDU, 20 Jun – Penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di Sarawak mencatatkan kadar penebusan tinggi sehingga 99 peratus.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kaedah penebusan menggunakan kad pengenalan memudahkan penerima mendapatkan barangan keperluan tanpa proses rumit.
  • Program dilaksanakan di 20 lokasi seluruh Sarawak untuk pendaftaran dan pembayaran tunai kepada penerima tanpa akaun bank.
  • Sekitar RM1.3 bilion disalurkan melibatkan hampir 900,000 penerima, dengan wakil dibenarkan bagi penerima uzur atau tidak berupaya.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pencapaian itu menunjukkan kaedah penebusan menggunakan kad pengenalan (IC) memudahkan urusan penerima untuk mendapatkan barangan keperluan asas tanpa perlu melalui proses yang rumit.

Menurut beliau, pendekatan tersebut bukan sahaja lebih praktikal, malah memastikan bantuan kerajaan benar-benar digunakan untuk memenuhi keperluan harian penerima.

“Dengan menggunakan kad pengenalan ini, ia merupakan satu kaedah yang sangat baik kerana memudahkan rakyat. Mereka tidak perlu berfikir tentang cara yang sukar; jika layak, mereka hanya perlu menggunakan IC sahaja. Sebab itu kita lihat penggunaannya sangat tinggi,” katanya kepada pemberita selepas Program Penunaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di sini hari ini.

Menurut beliau, program berkenaan dilaksanakan di 20 lokasi seluruh Sarawak bagi memudahkan urusan pendaftaran dan pembayaran tunai kepada penerima STR yang tidak mempunyai akaun bank.

Inisiatif itu juga bertujuan memastikan tiada penerima tercicir daripada menerima bantuan yang disediakan kerajaan. Selain itu, wakil yang dilantik turut dibenarkan hadir bagi pihak penerima yang uzur atau tidak berupaya untuk hadir sendiri ke kaunter.

Secara keseluruhan, kira-kira RM1.3 bilion disalurkan di Sarawak bagi program STR dan SARA melibatkan hampir 900,000 penerima pada tahun ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.