
BEIRUT, 20 Jun – Israel mencabuli gencatan senjata dengan Hizbullah hanya beberapa jam selepas ia berkuat kuasa, sekali gus menggugat usaha meredakan konflik di Asia Barat.
- Media kerajaan Lubnan laporkan serangan udara dan dron di selatan, mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang.
- Penghentian operasi ketenteraan di Lubnan antara syarat membuka rundingan 60 hari antara Washington dan Tehran.
- Rundingan dijangka fokus pada program nuklear Iran serta isu lain untuk membentuk perjanjian lebih berkekalan.
- Kementerian Kesihatan Lubnan rekod 3,912 kematian sejak 2 Mac, termasuk 746 petugas perubatan, wanita dan kanak-kanak.
Media kerajaan Lubnan melaporkan tentera Zionis kembali melancarkan serangan udara dan dron di selatan negara itu pada Sabtu, mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang.
Gencatan senjata itu bermula pukul 4 petang waktu tempatan pada Jumaat lepas.
Perkara itu disahkan seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) dan disahkan seorang pegawai kanan Israel serta dua sumber Hizbullah kepada Reuters.
Penghentian operasi ketenteraan di Lubnan merupakan antara syarat untuk memulakan rundingan selama 60 hari antara Washington dan Tehran.
Rundingan itu dijangka memberi tumpuan kepada pertikaian mengenai program nuklear Iran serta isu lain bagi membentuk perjanjian lebih berkekalan.
Perjanjian berkenaan turut dianggap penting untuk membuka semula Selat Hormuz dan menstabilkan bekalan minyak global.
Kementerian Kesihatan Lubnan merekodkan 3,912 kematian akibat serangan Israel sejak 2 Mac, termasuk 746 petugas perubatan, wanita dan kanak-kanak. – REUTERS