OKU serang nenek dengan penukul direman lima hari

Lelaki OKU (tengah) yang didakwa menyerang neneknya menggunakan penukul direman lima hari

DUNGUN, 20 Jun– Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) direman lima hari selepas disyaki menyerang neneknya menggunakan penukul dalam kejadian di Kampung Baru Kuala Abang, petang semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek berusia 25 tahun dengan ketidakupayaan mental ditahan di kediamannya selepas kejadian.
  • Mangsa 79 tahun mengalami kecederaan parah di kepala akibat dipukul penukul besi; dirawat di Hospital Dungun dan dirujuk ke HSNZ, keadaan stabil.
  • Polis merampas penukul besi; siasatan dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan selepas jiran memaklumkan kejadian.

Perintah reman sehingga Rabu depan itu dikeluarkan Majistret Nur Amira Fatihah Osman bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata, suspek berusia 25 tahun yang mempunyai ketidakupayaan mental itu ditahan di kediamannya sejurus selepas kejadian.

Menurut beliau, mangsa yang berusia 79 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat dipukul menggunakan penukul besi.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai cuba keluar dari rumah sebelum tindakannya dihalang oleh mangsa.

Keadaan itu dipercayai mencetuskan pertengkaran sebelum suspek bertindak menolak dan memukul neneknya menggunakan penukul,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, jiran yang menyedari kejadian tersebut bergegas ke rumah mangsa selepas dimaklumkan oleh suspek mengenai insiden berkenaan.

Polis turut merampas sebuah penukul besi yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Mangsa menerima rawatan awal di Hospital Dungun sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

Keadaan mangsa dilaporkan stabil.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.