
IPOH, 18 Jun – Kerajaan Negeri Perak akan memberi tumpuan kepada pembangunan Greater Ipoh berbanding mewujudkan bandar raya kedua di negeri itu dalam masa terdekat.
- Pembangunan Greater Ipoh melibatkan empat pihak berkuasa tempatan: MBI, MPKK, Majlis Daerah Kampar dan Majlis Daerah Batu Gajah.
- Kawasan perlu memenuhi kriteria seperti jumlah penduduk dan tahap pendapatan sebelum dinaik taraf kepada status bandar raya.
- Sambutan ulang tahun Ipoh ke-38 menjadi medan nilai pembangunan dan memperkukuh hala tuju mengikut agenda Perak Sejahtera 2030.
- Memperkasa Ipoh sebagai bandar pintar rendah karbon, mengekalkan identiti, menawarkan perkhidmatan cekap, keselamatan dan peluang ekonomi melalui pembangunan Ipoh Sentral.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pendekatan itu dilihat lebih sesuai bagi memperkukuh pembangunan kawasan sekitar Ipoh secara menyeluruh sebelum mempertimbangkan pembentukan bandar raya baharu.
Pembangunan Greater Ipoh melibatkan empat pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Majlis Daerah Kampar dan Majlis Daerah Batu Gajah.
“Setakat ini belum ada cadangan untuk mewujudkan bandar raya kedua di negeri itu, namun kita sedang membangunkan kawasan yang dikenali sebagai Greater Ipoh.
“Terdapat beberapa kriteria yang perlu dipenuhi sebelum sesebuah kawasan boleh diiktiraf sebagai bandar raya, antaranya melibatkan jumlah penduduk dan tahap pendapatan.
“Semua syarat tersebut perlu dipenuhi terlebih dahulu sebelum sesuatu kawasan boleh dinaik taraf daripada majlis daerah kepada majlis perbandaran atau seterusnya memperoleh status bandar raya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Bandaraya Ipoh Ke-38 di Ipoh Convention Centre (ICC).
Sementara itu, dalam ucapannya, Datuk Seri Saarani berkata sambutan ulang tahun itu bukan sekadar meraikan usia bandar raya, malah menjadi medan menilai pembangunan serta memperkukuh hala tuju Ipoh di bawah agenda Perak Sejahtera 2030.
Menurutnya, Ipoh perlu terus berkembang sebagai bandar moden yang mengekalkan identiti dan sejarah, di samping menawarkan perkhidmatan cekap, persekitaran bersih, keselamatan serta peluang ekonomi yang lebih banyak kepada rakyat.
Beliau turut menegaskan usaha memperkasa Ipoh sebagai bandar pintar, bandar rendah karbon dan pusat ekonomi komuniti akan terus diperkukuh, termasuk melalui pembangunan Ipoh Sentral bagi meningkatkan mobiliti dan daya saing bandar raya.