Operasi cari nelayan hilang di perairan Kemaman ditamatkan

Foto BERNAMA

KEMAMAN, 18 Jun – Operasi mencari dan menyelamat dua nelayan hilang selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Kemaman kira-kira 29 batu nautika dari Timur Kuala Kemaman, minggu lepas ditamatkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pencarian dilaksanakan secara intensif berdasarkan maklumat kejadian, keadaan cuaca dan analisis pergerakan arus lautan.
  • Operasi selama seminggu merangkumi lebih 900 batu nautika persegi hingga perairan Pulau Redang, namun tiada petunjuk baharu ditemui.
  • Pelbagai aset dan anggota terlibat: Maritim Malaysia, PPM, JBPM udara, PGU PDRM serta kerjasama komuniti nelayan.
  • Insiden: bot karam dalam ribut; dua nelayan hilang, seorang (Mahadi Jusoh) berjaya diselamatkan keesokan paginya.

Pengarah Maritim Zon Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata pencarian itu telah dilaksanakan secara intensif meliputi kawasan ditentukan berdasarkan maklumat kejadian, keadaan cuaca semasa dan analisis pergerakan arus lautan.

Beliau berkata, operasi pencarian selama seminggu itu merangkumi lebih 900 batu nautika persegi hingga ke perairan Pulau Redang, gagal menemukan sebarang petunjuk baharu.

Menurut Abdul Halim, pencarian melibatkan pelbagai aset dan anggota daripada Maritim Malaysia, pasukan polis marin (PPM), pasukan udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama komuniti nelayan.

Segala usaha pencarian dilaksanakan dan hasil perbincangan bersama agensi-agensi yang terlibat, operasi carilamat telah ditamatkan.

Abdul Halim berkata, walaupun operasi rasmi ditamatkan, komuniti maritim dan nelayan di sekitar kawasan itu diminta terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang petunjuk atau penemuan berkaitan mangsa yang masih hilang.

Dalam insiden malam Rabu minggu lalu, bot nelayan yang dinaiki Azan Muda, 68 tahun, dan Nordin Mohammad, 61 tahun dilaporkan tenggelam dalam kejadian ribut pada 12.30 tengah malam.

Bagaimanapun seorang lagi nelayan yang menaiki bot berkenaan Mahadi Jusoh, 51, berjaya diselamatkan nelayan lain pada 10.30 pagi keesokkan harinya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.