
SHAH ALAM, 18 Jun – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mengesan tindakan segelintir warga tempatan yang menyewakan atau membenarkan kenderaan mereka dipandu warga asing tanpa lesen memandu yang sah.
- Operasi PEWA mengenakan tindakan ke atas 239 pemandu warga asing; Myanmar mencatat jumlah tertinggi.
- Operasi merekod 734 kesalahan, paling tinggi tiada Lesen Memandu Kompeten (268), tiada Lesen Kenderaan Motor (207), tiada insurans (178).
- JPJ menyita 95 kenderaan: 61 motosikal, 23 kenderaan barangan, sembilan kenderaan persendirian, dua kenderaan perkhidmatan awam.
- Pemilik bertanggungjawab di bawah Seksyen 109; JPJ berkuasa menyita mengikut Seksyen 64; syarikat boleh digantung atau permit dibatalkan.
Itu antara yang dikesan menerusi Operasi Pemandu Warga Asing (PEWA) yang dijalankan sejak awal tahun ini.
Timbalan Pengarah JPJ Selangor Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat, berkata perkara itu terbongkar apabila pemilik hadir membuat tuntutan selepas kenderaan mereka disita dan kes dibawa ke mahkamah.
“Pemilik kenderaan dan pemandu warga asing perlu menjelaskan denda yang diputuskan mahkamah sebelum kenderaan boleh dikeluarkan dari depoh sitaan JPJ. Jika mereka gagal menjelaskan denda, kenderaan tidak boleh dituntut keluar,” katanya pada sidang media Ops PEWA di JPJ Selangor di sini hari ini.
Selain itu, katanya, sebanyak 239 pemandu warga asing dikenakan tindakan dengan warga Myanmar mencatat jumlah tertinggi, iaitu 50 orang, diikuti Bangladesh (46), Indonesia (44), India (10) dan negara lain (89).
“Operasi turut merekodkan 734 kesalahan dengan kes tiada Lesen Memandu Kompeten paling tinggi, iaitu 268 kes, diikuti tiada Lesen Kenderaan Motor (207), tiada perlindungan insurans (178), tiada Lesen Kenderaan Barangan (77) dan tiada Lesen Perkhidmatan Awam (empat).
“Sebanyak 95 kenderaan turut disita terdiri daripada 61 motosikal, 23 kenderaan barangan, sembilan kenderaan persendirian dan dua kenderaan perkhidmatan awam.
“Sebahagian kenderaan yang digunakan warga asing didapati tidak diselenggara dengan baik termasuk tayar haus dan sistem brek tidak berfungsi dengan sempurna, sekali gus mendatangkan risiko kepada pengguna jalan raya lain,” tambahnya.
Justeru, beliau memberi amaran kepada pemilik kenderaan, majikan dan syarikat pengangkutan bahawa di bawah Seksyen 109 Akta Pengangkutan Jalan 1987, pemilik berdaftar bertanggungjawab terhadap sebarang kesalahan yang dilakukan oleh pemandu yang memandu kenderaan mereka termasuk warga asing.
Katanya, di bawah Seksyen 64 akta sama, JPJ berkuasa menyita kenderaan sekiranya pemandu warga asing tidak memiliki lesen memandu yang sah.
Bagi syarikat pengangkutan yang menggaji pemandu tidak sah pula, tindakan termasuk penggantungan atau pembatalan permit boleh diambil mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.