
ASHGABAT, 18 Jun – Malaysia dan Turkmenistan bakal memperkukuh kerjasama strategik menerusi pemeteraian beberapa perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) meliputi sektor pengangkutan udara, diplomasi, sains serta minyak dan gas.
- Kedua pemimpin akan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa, khususnya perkembangan di ASEAN dan rantau Asia Tengah.
- Perdana Menteri akan merasmikan Forum Malaysia-Turkmenistan bersama Presiden Turkmenistan.
- PETRONAS meraikan 30 tahun operasi di Turkmenistan; pelaburan terkumpul dianggarkan RM52.73 bilion sejak 1996.
Menurut kenyataan Wisma Putra, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov akan menyaksikan pertukaran dokumen Perjanjian Perkhidmatan Udara serta MoU antara Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), Kementerian Luar Negeri dan Institut Hubungan Antarabangsa, Kementerian Luar Negeri Turkmenistan.
Acara itu sebahagian daripada agenda lawatan rasmi Perdana Menteri ke ibu negara Turkmenistan pada 18 dan 19 Jun. Ia merupakan kunjungan balas susulan lawatan rasmi Presiden Turkmenistan ke Malaysia pada Disember 2024.
“Selain itu, kedua-dua pemimpin akan turut menyaksikan pemeteraian MoU antara Kementerian Pengangkutan dan Perkhidmatan Negeri Turkmenistan, Memorandum Persefahaman antara Akademi Sains Malaysia dan Akademi Sains Turkmenistan serta dokumen dalam bidang minyak dan gas.
“Pada masa sama, status hubungan dua hala juga akan dibincangkan serta membuka ruang bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, minyak dan gas, pertanian dan komoditi, tenaga, pelancongan, pendidikan dan kesalinghubungan antara rakyat, digital, sains dan teknologi”, menurut kenyataan Wisma Putra.
Menurut kenyataan itu lagi, kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama, khususnya perkembangan di ASEAN dan rantau Asia Tengah.
Jelas Wisma Putra, Datuk Seri Anwar turut dijadual merasmikan Forum Malaysia-Turkmenistan bersama-sama Presiden Turkmenistan.
Lawatan sulung Perdana Menteri ke Turkmenistan juga bertepatan dengan ulang tahun ke-30 PETRONAS di Turkmenistan, setelah beroperasi sejak 11 Mei 1996.
Beliau akan turut diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Pada tahun 2025, Turkmenistan merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara Asia Tengah.
Nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Turkmenistan berjumlah RM75.80 juta, dengan eksport Malaysia bernilai RM75.50 juta, mencatatkan peningkatan sebanyak sembilan peratus berbanding tahun sebelumnya.
Turkmenistan juga merupakan destinasi pelaburan utama PETRONAS, dengan jumlah pelaburan mencecah RM52.73 bilion sejak tahun 1996 sehingga kini.