Fenomena El-Nino dorong orang ramai tingkat kesiapsiagaan hadapi cuaca panas

Dari kiri, Muhammad Firdhaus Che Ab Rahim, Dinie Ashraff Khairul Nizam, Mohd Azrollnaim Arshad dan Aleesa Dasyni Zawawi / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Orang ramai mula merasai perubahan cuaca dan peningkatan suhu susulan fenomena El-Nino yang dikaitkan dengan keadaan lebih panas serta taburan hujan yang tidak menentu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Masyarakat menyesuaikan rutin harian dan menjaga kesihatan keluarga untuk elak risiko cuaca panas.
  • Utamakan pengambilan air, bawa botol air dan pastikan keluarga sentiasa terhidrat.
  • Kurangkan aktiviti luar semasa suhu meningkat, singkatkan kerja luar atau alihkan waktu.
  • MetMalaysia: El-Nino menyebabkan cuaca lebih panas dan kering terutama semasa Monsun Barat Daya.

Keadaan itu mendorong masyarakat mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyesuaikan rutin harian dan menjaga kesihatan diri serta keluarga bagi mengelakkan risiko akibat cuaca panas.

Bagi juruteknik, Muhammad Firdhaus Che Ab Rahim, keadaan cuaca panas terutama pada waktu pagi memberi kesan kepada aktiviti harian termasuk ketika bekerja.

“Memang agak sukar untuk melakukan kerja apabila cuaca terlalu panas. Jika hendak keluar bekerja, kita perlu memakai pakaian yang lebih sesuai untuk melindungi diri daripada terik matahari.

“Saya lebih banyak minum air dan ke mana sahaja saya pergi, saya akan bawa botol air bersama,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti luar juga perlu dikurangkan terutama ketika suhu meningkat bagi mengelakkan tubuh terdedah terlalu lama kepada cuaca panas.

“Kalau melakukan kerja di luar, saya akan singkatkan masa. Memandangkan waktu kerja saya lebih fleksibel, saya boleh alihkan kerja kepada waktu malam,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga, Dinie Ashraff Khairul Nizam, berkata beliau turut mengehadkan aktiviti luar seperti bermain bola sepak, berjoging dan mendaki ketika musim panas.

“Biasanya saya ada melakukan aktiviti seperti bermain bola, berjoging dan mendaki. Tetapi ketika musim kemarau, saya kurangkan aktiviti tersebut dan hanya bermain bola di taman,” katanya.

Bagi Mohd Azrollnaim Arshad yang bekerja sebagai kerani pula, aspek pengambilan air menjadi keutamaan dalam keluarganya terutama bagi memastikan anak-anak kekal terhidrat.

“Satu keluarga memang menitikberatkan pengambilan air. Setiap orang akan membawa botol air dan memastikan ia dihabiskan. Kami juga mengurangkan aktiviti luar untuk mengelakkan terlalu lama terdedah kepada cuaca panas,” katanya.

Beliau turut berkata, persediaan kesihatan anak-anak turut diberi perhatian termasuk memastikan pengambilan makanan tambahan yang bersesuaian.

Sementara itu, Aleesa Dasyni Zawawi, seorang pekerja kafe yang menggunakan motosikal untuk ke tempat kerja berkata, perubahan cuaca tidak menentu seperti hujan dan panas memberi kesan terhadap rutin hariannya.

“Disebabkan saya pergi kerja dengan motosikal, keadaan cuaca seperti hujan dan panas memberi kesan kepada diri saya. Saya kini lebih banyak minum air dan jika cuaca terlalu panas, saya akan elakkan pulang sehingga lewat petang,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya terus mengamalkan pengambilan air yang mencukupi serta mengurangkan aktiviti luar ketika suhu meningkat.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), fenomena El-Nino boleh menyebabkan keadaan cuaca lebih panas dan kering daripada biasa, khususnya ketika Monsun Barat Daya yang bermula pada 14 Mei dan dijangka berterusan sehingga September.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.