
WASHINGTON, 15 Jun – Perjanjian damai antara Amerika dan Iran dijangka ditandatangani dalam tempoh beberapa jam lagi, walaupun serangan Israel ke atas Beirut telah mengakibatkan proses berkenaan ‘tertangguh’.
- Trump menyelar Perdana Menteri Netanyahu, meluahkan kemarahan dan menggunakan kata-kata kesat susulan serangan Israel.
- Serangan Israel mengakibatkan tiga korban; Trump menggesa semua serangan di Lubnan dihentikan segera.
- Trump sebelum ini kata perjanjian dengan Iran dijadual, namun Tehran mempertikaikan dan Fars melaporkan memorandum masih dalam pertimbangan.
“Serangan berkenaan telah mengganggu proses perjanjian damai. Sepatutnya ia telah ditandatangani tetapi kini dijadualkan beberapa jam dari sekarang,”kata Presiden Donald Trump kepada laman web berita Amerika, Axios.
Trump dalam masa sama menyelar Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu susulan serangan berkenaan dengan menyatakannya perjanjian itu sepatutnya ditandatangani hanya sejam sebelum serangan berkenaan.
Axios turut melaporkan Trump telah mengeluarkan kata-kata kesat yang menggambarkan kemarahannya terhadap Netanyahu selepas Israel melancarkan serangan ke Beirut yang mengorbankan tiga nyawa.
“Serangan tidak sepatutnya berlaku ketika kita hampir dengan perjanjian yang membawa keamanan di rantau itu termasuk Lubnan. Jangan sia-siakan permulaan kepada kedamaian,”katanya.
Dalam masa sama beliau menggesa semua serangan Israel di Lubnan, dihentikan serta-merta.
Trump sebelum ini menyatakan perjanjian dengan Iran dijadual ditandatangani pada Ahad, walaupun Tehran mempertikaikan tempoh berkenaan.
Sementara itu, sumber di Tehran memaklumkan Agensi Berita Fars, cadangan memorandum persefahaman masih ‘dalam pertimbangan’ dengan tiada keputusan muktamad, diumumkan.-AFP