6,781 graduan terima ijazah pada Konvokesyen UPSI ke-28

Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City/ Foto UPSI

TANJUNG MALIM, 24 November – Seramai 6,781 graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bakal menerima ijazah dan diploma masing-masing pada Majlis Istiadat Konvokesyen UPSI ke-28 yang akan berlangsung esok sehingga 2 Disember 2026, membabitkan lapan sesi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tuanku Zara Salim akan menyempurnakan pembukaan istiadat konvokesyen pada sesi pertama di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.
  • UPSI menganugerahkan ijazah kehormat kepada Tan Sri Idris Jusoh dan Datuk Burhanuddin Md. Radzi, serta Prof Emeritus kepada Dr Zakaria Ali.
  • Pelakon Zulkifli Ismail, penyanyi Tomok dan Anis Suraya antara penerima ijazah, manakala dua graduan menerima ijazah secara anumerta.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata titah pengistytiharan pembukaan Istiadat Konvokesyen akan disempurnakan oleh Canselor, Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim pada sesi pertama esok di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.

Pada sesi pertama, Baginda akan menganugerahkan ijazah kepada 420 graduan iaitu doktor falsafah seramai 364 graduan, manakala ijazah sarjana seramai 56 graduan.

Beliau berkata daripada jumlah keseluruhan, seramai 364 orang akan dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah, diikuti penerima Ijazah Sarjana (861), Ijazah Sarjana Muda (4,009), Diploma (636), Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (398) dan seramai 513 orang menerima Diploma Pascasiswazah Pendidikan.

Katanya, UPSI juga akan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Tahfiz kepada Tan Sri Datuk Seri Hj Idris Jusoh, pengasas konsep Ulul Albab (Quranik, Ensiklopedik, Ijtihadik), sekolah IMTIAZ, dan Maktab Rendah Sains Mara Ulul Albab.

Ijazah Kehormat Doktor Multimedia pula dianugerahkan kepada pengasas, penerbit dan Pengarah Urusan, Les’ Copaque Production, Datuk Hj Burhanuddin Md. Radzi.

Pada sesi pertama ini, Baginda turut menyampaikan anugerah Prof Emeritus kepada Dr Zakaria Ali, seorang sarjana dalam bidang seni visual serta pelukis dan penulis kreatif.

Turut membanggakan, katanya, mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Azman Adnan akan dianugerahkan Ijazah Doktor Pendidikan dalam Pengurusan Pendidikan.

Selain itu, Baginda akan menyampaikan Anugerah Pelajaran DiRaja, Anugerah Pingat Emas Canselor, Anugerah Pingat Emas Naib Canselor serta Pingat Emas Lembaga Pengarah Universiti.

Menurut Prof Md Amin, konvokesyen tahun ini juga menyaksikan pelakon veteran, Zulkifli Ismail, 63, akan menerima Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan di bawah APEL Q. Selain itu, penyanyi terkenal Tomok atau nama sebenarnya Shah Inderawan Ismail serta penyanyi, Tengku Anis Soraya Tengku Sulaiman (Anis Suraya).

Manakala, dua orang graduan dari Fakulti Pengurusan dan Ekonomi serta Fakulti Komputeran dan Meta Teknologi akan menerima ijazah secara Anumerta.

Prof Md Amin turut mengucapkan tahniah kepada semua graduan serta keluarga atas kejayaan menerima ijazah pada hari yang bersejarah selepas berjuang dengan penuh suka duka sepanjang pengajian.

“Semoga perjalanan graduan bersama keluarga ke kampus dipermudahkan dan selamat sampai untuk kami raikan pada majlis yang sangat bermakna dan dinantikan kalian,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.