Sabah Southern MADANI Link bakal akhiri penantian rakyat Sabah miliki grid elektrik stabil

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Projek Sabah Southern MADANI Link fasa pertama yang diluluskan kerajaan Persekutuan bakal menamatkan penantian puluhan tahun rakyat Sabah untuk memiliki sistem grid elektrik yang lebih stabil.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan Persekutuan luluskan pinjaman mudah untuk Fasa 1 sepanjang 60 km, bermula Belanjawan 2026.
  • Fasa 1 dijangka mengambil masa tiga tahun dan disasarkan siap sepenuhnya pada 16 Sept 2028.
  • Projek lengkapkan rangkaian grid selatan sepanjang 330 km untuk menghubungkan grid Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah, tingkatkan kestabilan tenaga.
  • Membangun penghubung kedua untuk mengurangkan risiko gangguan bekalan selepas insiden menara tergelincir, berharap peruntukan Fasa 1B diluluskan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata kelulusan itu melibatkan pinjaman mudah bagi Fasa 1 projek sepanjang 60 kilometer (km) bermula Belanjawan 2026.

Beliau berkata kepentingan projek tersebut telah dikenal pasti sejak tahun 1980-an, manakala Kerajaan Negeri Sabah telah memohon peruntukan berkaitan sejak lebih 10 tahun lepas.

“Syukur, kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan pinjaman mudah untuk Fasa 1 projek ini yang melibatkan jarak 60 km bermula Belanjawan 2026 ini,” katanya menerusi hantaran video di laman Facebook rasminya hari ini.

Armizan berkata projek fasa pertama itu dijangka mengambil masa tiga tahun dan disasarkan siap sepenuhnya pada 16 Sept 2028.

Beliau berkata projek infrastruktur itu amat penting bagi melengkapkan rangkaian grid elektrik negeri yang disifatkan sebagai kritikal untuk menghubungkan grid Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah demi menjamin kestabilan sekuriti tenaga.

“Projek Sabah Southern MADANI Link adalah sebahagian daripada komponen untuk melengkapkan rangkaian grid elektrik di Sabah.

“Ia amat penting untuk menghubungkan grid Pantai Barat dan grid Pantai Timur Sabah. Projek ini adalah sebahagian daripada rangkaian grid sepanjang 330 km yang perlu dibina di selatan Sabah,” katanya.

Selain itu, Armizan berkata risiko kebergantungan kepada grid tunggal sebelum ini pernah menyebabkan penduduk di Pantai Timur Sabah termasuk Sandakan, Tawau dan Lahad Datu terputus bekalan elektrik sepenuhnya selama beberapa hari.

“Kejadian itu berlaku susulan insiden menara pencawang tergelincir akibat tanah runtuh pada September tahun lepas.

“Maka Projek Sabah Southern MADANI Link merupakan rangkaian grid penghubung kedua, sekali gus membantu kestabilan bekalan elektrik di Sabah. Kita berharap peruntukan untuk Fasa 1B akan diluluskan pada masa depan untuk melengkapkan keseluruhan grid Sabah Southern Madani Link,” katanya.- BERNAMA

 

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.