
GUA MUSANG, 14 Jun – Kemunculan gajah liar yang berkeliaran di kawasan penempatan sejak beberapa bulan lalu menyebabkan kira-kira 1,000 penduduk Orang Asli di Pos Pasik di sini hidup dalam kebimbangan.
- Gajah aktif pada waktu malam merosakkan tanaman seperti ubi kayu dan pisang.
- Kehilangan hasil tanaman menjejaskan pendapatan dan menimbulkan kebimbangan keselamatan terutama kanak-kanak.
- Beberapa kejadian penduduk terserempak gajah; ada yang terpaksa berpatah balik dari jalan ke sekolah.
- ADUN dan penduduk mendesak Perhilitan mengambil tindakan segera serta memantau untuk menjamin keselamatan.
Penduduk mendakwa beberapa ekor gajah sering bergerak aktif pada waktu malam dan merosakkan tanaman yang diusahakan mereka termasuk ubi kayu dan pisang.
Situasi itu bukan sahaja menjejaskan sumber pendapatan penduduk, malah menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan terutama melibatkan kanak-kanak yang berulang-alik ke sekolah.
Penduduk, Jimi Arifin berkata, kehadiran haiwan liar itu memberi kesan kepada kehidupan harian penduduk yang terpaksa berdepan risiko terserempak dengan gajah ketika ke ladang atau menghantar anak ke sekolah.
“Memang merisaukan kerana ancaman ini bukan sehari dua. Gajah masih berkeliaran berhampiran ladang dan menjejaskan keselamatan serta sumber makanan penduduk.
“Pernah berlaku ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah terserempak dengan gajah dan keadaan itu menimbulkan ketakutan,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Misbun Arifin berkata, masalah gajah liar di kawasan Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Pasik semakin membimbangkan kerana mengancam keselamatan penduduk.
Katanya, terdapat kejadian penduduk yang menaiki motosikal untuk menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan Sri Permai terpaksa berpatah balik selepas terserempak dengan gajah di laluan mereka.
Sementara itu, penduduk, Mior Siam berharap pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera bagi menangani masalah berkenaan.
“Kami mahu hidup dengan aman dan dapat mengusahakan hasil tanaman untuk menyara kehidupan tanpa gangguan haiwan liar,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mengesahkan menerima aduan daripada penduduk berhubung kehadiran gajah liar di kawasan terbabit.
Beliau berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat mengambil tindakan segera termasuk memantau keadaan dan memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin.