
SYDNEY, 14 Jun – Kerajaan negeri New South Wales akan menyemak semula larangan penggunaan dron di Pantai Coogee bagi membolehkan pemantauan jerung dilakukan oleh pihak penyelamat.
- Seorang wanita cedera kritikal selepas diserang jerung di Pantai Coogee.
- Mangsa berumur 35 tahun digigit kira-kira 30 meter dari pantai; perkhidmatan kecemasan dikerahkan.
- Penggunaan dron oleh pasukan penyelamat sudah diamalkan, namun Coogee pernah disekat sebab laluan penerbangan Lapangan Terbang Kingsford Smith.
- Pantai Coogee dan beberapa pantai Majlis Randwick ditutup selama 24 jam susulan insiden.
Langkah terbaharu itu susulan insiden serangan jerung yang mencederakan seorang wanita hingga kritikal.
Menteri Pertanian New South Wales, Tara Moriarty, berkata kerajaan akan menilai langkah baharu bagi meningkatkan keselamatan perenang, termasuk penggunaan dron dan teknologi pemantauan lain.
Menurut beliau, penggunaan dron oleh pasukan penyelamat sudah diamalkan di Australia, namun Pantai Coogee sebelum ini berdepan sekatan kerana berada di laluan penerbangan Lapangan Terbang Kingsford Smith Sydney.
Semalam, seorang wanita cedera parah selepas diserang seekor ikan jerung di Pantai Coogee, di sini.
Perkhidmatan kecemasan dipanggil ke pantai berkenaan selepas menerima laporan bahawa seorang wanita berusia 35 tahun digigit jerung besar ketika berada kira-kira 30 meter dari pantai.
Insiden itu menyebabkan Pantai Coogee serta beberapa pantai lain di kawasan Majlis Randwick ditutup selama 24 jam selepas kejadian itu. – Reuters