
BEIRUT, 13 Jun – Lubnan dan Israel dijadual mengadakan rundingan baharu di Washington pada 22 Jun depan bagi membincangkan rancangan pengunduran tentera Israel dari sebuah “zon rintis” di wilayah sempadan, lapor media tempatan pada Sabtu.
- Kerajaan Lubnan akan menghantar delegasi ketenteraan khas kerana kepentingan kritikal isu tersebut.
- Pengunduran tentera Israel dari zon rintis dijangka dilakukan secara teratur dengan tentera Lubnan memikul tanggungjawab pelan kawalan senjata.
- Jurang perbezaan masih wujud mengenai peranan Hizbullah dan pelan gencatan senjata menyeluruh walaupun terdapat kemajuan rundingan.
Kerajaan Lubnan dilaporkan akan menghantar delegasi ketenteraan khas bagi menyertai pertemuan berkenaan memandangkan kepentingan kritikal isu yang bakal dibincangkan itu.
Menurut laporan itu, pengunduran tentera Israel dari zon rintis terbabit dijangka dilakukan secara teratur dengan tentera Lebanon yang juga akan memikul tanggungjawab bagi melaksanakan pelan kawalan senjata di kawasan berkenaan.
Sebelum ini, proses perundingan tergendala selepas pihak Israel menolak cadangan awal untuk menjadikan wilayah Bint Jbeil sebagai zon rintis pertama.
Bagaimanapun, kedua-dua belah pihak akhirnya mencapai kata sepakat untuk mempertimbangkan kawasan Nabatieh sebagai lokasi alternatif.
Israel dan Lubnan aktif mengadakan rundingan secara langsung mengenai keselamatan sempadan serta beberapa isu berbangkit yang lain sejak kebelakangan ini, dengan Amerika Syarikat bertindak selaku perantara.
Meskipun terdapat kemajuan, kedua-dua pihak dilaporkan masih mempunyai jurang perbezaan yang besar berhubung isu kumpulan Hizbullah serta pelan pengaturan gencatan senjata yang menyeluruh.
Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan selepas rundingan terdahulu, kedua-dua pihak bersetuju untuk mempercepatkan penubuhan “zon rintis” tersebut bagi membolehkan tentera Lubnan mempunyai kuasa kawalan mutlak menolak penglibatan mana-mana kumpulan bersenjata di wilayah berkenaan. – REUTERS