Agihan kerusi PH Negeri Sembilan dimuktamadkan

Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim memalu gendang pada simbolik pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Negeri Sembilan/Foto BERNAMA

SEREMBAN, 13 Jun – Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan mengesahkan rundingan agihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 telah dimuktamadkan melibatkan ketiga-tiga parti komponennya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aminuddin Harun berkata kesepakatan dicapai hasil perbincangan lancar antara parti dalam gabungan.
  • Rundingan pembahagian kerusi diselesaikan dalam tempoh singkat, mencerminkan semangat kerjasama dan keyakinan pimpinan.
  • Agihan kerusi: PKR 16, DAP 11, Amanah 9; pemilihan calon pada peringkat akhir, pengumuman dalam masa terdekat.
  • PH Negeri Sembilan tumpu persiapan penamaan calon dan kempen bagi memastikan kesiapsiagaan jentera di 36 kerusi DUN.

Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kesepakatan itu dicapai hasil perbincangan yang berlangsung dengan lancar antara parti-parti dalam gabungan berkenaan.

Menurut beliau, rundingan pembahagian kerusi berjaya diselesaikan dalam tempoh singkat, sekali gus mencerminkan semangat kerjasama dan keyakinan tinggi dalam kalangan pimpinan parti.

“Rundingan kali ini berjalan dengan amat baik dan merupakan antara yang paling mudah untuk dimuktamadkan. Ketiga-tiga parti mencapai persefahaman dan yakin dengan agihan kerusi yang dipersetujui.

“Daripada 36 kerusi DUN yang dipertandingkan, PKR akan bertanding di 16 kerusi, DAP 11 kerusi dan Amanah sembilan kerusi. Insya-Allah, urusan pemilihan calon akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau turut memaklumkan proses pemilihan calon kini berada di peringkat akhir dan pengumuman mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat.

PH Negeri Sembilan kini memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi proses penamaan calon serta kempen pilihan raya bagi memastikan kesiapsiagaan jentera di kesemua 36 kerusi DUN yang akan dipertandingkan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.