
GEORGE TOWN, 12 Jun – Kegiatan perniagaan serta perdagangan haram yang dijalankan warga asing dipantau rapat Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), tegas Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin.
- MITI memantau rapat kegiatan perniagaan dan perdagangan haram melibatkan warga asing.
- Langkah drastik dilaksanakan untuk melindungi perusahaan mikro, kecil dan sederhana tempatan daripada persaingan tidak adil.
- Pemantauan selaras arahan Perdana Menteri untuk penguatkuasaan bersepadu terhadap pelanggaran undang-undang oleh warga asing.
- Perdana Menteri bimbang warga asing menyalahgunakan visa pelawat dan pelajar untuk menjalankan perniagaan menjejaskan peluang pekerjaan rakyat.
Langkah drastik yang dilaksana itu bertujuan melindungi sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan daripada persaingan tidak adil.
“Pemantauan itu selaras arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tindakan penguatkuasaan bersepadu dilaksana terhadap kegiatan perniagaan haram khususnya membabitkan warga asing yang melanggar undang-undang negara.
“Perdana Menteri mendengar suara pemain industri yang berdepan persaingan tidak adil,”katanya dalam sidang media selepas Majlis Dialog bersama Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC), di sini.
Perdana Menteri, pada Isnin lepas menyuarakan kebimbangan terhadap kebanjiran warga asing yang menyalahgunakan visa pelawat serta pelajar untuk menjalankan perniagaan termasuk dalam sektor PMKS sehingga menjejaskan peluang pekerjaan rakyat di negara ini.
Kerajaan, tegas Sim tidak akan berkompromi dengan kegiatan perniagaan haram yang menjejaskan peluang serta pendapatan usahawan tempatan.