El Nino berpotensi dorong harga MSM naik RM4,400 satu tan

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) menyemak naik unjuran harga minyak sawit mentah (MSM) bagi tahun 2026 sebanyak empat peratus kepada RM4,400 satu tan berbanding RM4,250 satu tan sebelum ini, berikutan fenomena El Nino.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenanga IB menyemak semula unjuran harga minyak sawit mentah susulan fenomena El Nino.
  • El Nino cenderung melonjakkan harga pada separuh kedua fenomena atau pada separuh pertama tahun berikutnya.
  • Perubahan harga boleh berbeza; penurunan awal diikuti lonjakan 10 hingga 40 peratus pada suku-suku berikutnya.
  • Hanya El Nino sangat kuat dan kemarau melebihi enam bulan mampu ganggu pembungaan, penghasilan dan mengecutkan bekalan global.

Bank pelaburan itu turut menyemak semula unjuran harga MSM bagi tahun 2027 sebanyak enam peratus kepada RM4,450 satu tan daripada RM4,200 satu tan.

Menurut firma itu, El Nino cenderung melonjakkan harga MSM yang kebiasaannya meningkat pada tempoh separuh kedua fenomena itu berlaku atau pada separuh pertama tahun berikutnya.

“Perubahan harga berbeza-beza dengan ketara, daripada penurunan awal suku ke suku kepada lonjakan antara 10 hingga 40 peratus pada suku-suku berikutnya.

Secara keseluruhannya, kami percaya peningkatan antara lima hingga 10 peratus adalah munasabah buat masa ini, memandangkan harga MSM dan isirung sawit telahpun berada pada paras tinggi sejak tercetusnya konflik di Asia Barat,” tambah bank pelaburan itu.

Jelas Kenanga IB, walaupun sebahagian daripada kesan tersebut telah diambil kira dalam harga semasa, semakan naik selanjutnya berkemungkinan berlaku sekiranya senario El Nino semakin serius.

“Pengeluaran minyak sawit tidak akan terjejas melainkan berlakunya El Nino yang sangat kuat iaitu keadaan kering berpanjangan untuk tempoh enam bulan atau lebih yang berpotensi mengganggu kitaran pembungaan dan penghasilan buah.

Secara global, bekalan minyak sawit boleh berubah daripada pertumbuhan tahun ke tahun kepada penguncupan antara dua hingga sembilan peratus berdasarkan sejarah sebelum ini,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.