Tipu pelaburan perniagaan, pempengaruh mengaku tidak bersalah

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 12 Jun – Seorang pempengaruh media sosial mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini atas pertuduhan menipu seorang pesara wanita membabitkan kerugian RM80,000 dalam satu pelaburan perniagaan, tahun lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa dikenal pasti sebagai Tan Mei Lan, 58, disuruh menyerahkan wang modal perniagaan di Bank Muamalat, Presint 15.
  • Tertuduh menjanjikan jawatan rakan kongsi dalam Two M Legacy dengan gaji RM10,000 sebulan dan imbuhan 10 peratus keuntungan.
  • Dakwaan dibawa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara satu hingga 10 tahun, sebat dan denda.
  • Mahkamah membenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin; sebutan semula kes ditetapkan 9 Julai.

Tertuduh, Mikhail Isaaq Mohd Rozi, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ezrene Zakariah.

Mengikut pertuduhan, Mikhail Isaaq didakwa memperdayakan Tan Mei Lan, 58, untuk menyerahkan wang tunai RM80,000 sebagai modal perniagaan penjualan kosmetik pada kira-kira 3:30 petang, 21 Mei tahun lepas di Bank Muamalat, Presint 15 di sini.

Mikhail Isaaq turut didakwa menjanjikan mangsa jawatan rakan kongsi syarikat Two M Legacy dengan tawaran gaji RM10,000 sebulan serta imbuhan 10 peratus daripada keuntungan setiap bulan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun, sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Batrisyia Mohd Khusri, manakala tertuduh diwakili peguam Izleen Ismail daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.