
BANDAR BAHARU, 10 Jun– Dua blok bangunan dan laluan pejalan kaki di Sekolah Kebangsaan Lubuk Buntar rosak selepas dilanda ribut berserta hujan lebat di sini, petang tadi.
- Lima kedai di pekan Bandar Baharu mengalami kerosakan akibat ribut.
- Pemeriksaan mendapati bumbung sekolah dan beberapa premis perniagaan rosak dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
- Rakaman orang awam menunjukkan angin kencang menerbangkan kepingan bumbung, menghalang jalan dan menyebabkan beberapa kenderaan rosak.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.30 petang itu turut menyebabkan lima kedai di pekan Bandar Baharu mengalami kerosakan.
Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairudin berkata, pemeriksaan di lokasi pada pukul 7.57 malam mendapati kerosakan melibatkan bumbung bangunan sekolah serta beberapa premis perniagaan.
“Terdapat juga kerosakan lain pada struktur bangunan yang terjejas akibat kejadian tersebut.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.
Menurut beliau, pemantauan terus dijalankan dari semasa ke semasa oleh pihak berkuasa dan agensi berkaitan.
Sementara itu, rakaman yang dikongsi orang awam di media sosial menunjukkan angin kencang menerbangkan kepingan bumbung beberapa deretan kedai di kawasan berkenaan.
Kejadian itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas apabila serpihan bumbung menghalang sebahagian jalan.
Beberapa kenderaan juga dilaporkan terkena kepingan zink yang diterbangkan angin.