
BUKIT SELAMBAU, 10 Jun -Seramai 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah di sebuah kilang pembuatan lantai formica di sini, semalam.
- 16 pegawai Unit Tindakan Imigresen Kedah menggerakkan operasi, memeriksa 199 individu termasuk warga tempatan dan warga asing dari beberapa negara.
- 26 ditahan kerana tiada pas atau permit sah; dua atas kesalahan overstayer; seorang langgar syarat pas, mengikut peruntukan Akta Imigresen.
- Semua ditahan dihantar ke Depot Imigresen Belantik; JIM Kedah tegas, akan terus perhebat penguatkuasaan dan tidak kompromi dengan majikan melindungi PATI.
Operasi yang bermula hasil maklumat dan risikan itu digerakkan oleh sepasukan 16 pegawai daripada Unit Tindakan Imigresen, Bahagian Penguatkuasa JIM Negeri Kedah.
JIM Kedah dalam satu kenyataan memaklumkan, seramai 199 individu telah diperiksa dalam operasi berkenaan melibatkan 20 warga tempatan, 127 warga Bangladesh, 25 warga Nepal, 22 warga China dan lima warga Myanmar.
“Hasil pemeriksaan rapi mendapati seramai 29 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada 24 lelaki warga Bangladesh dan lima lelaki warga Myanmar,” menurut kenyataan itu.
Siasatan awal mendapati seramai 26 individu ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di negara ini.
Dua lagi warga asing ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana tinggal melebihi tempoh (overstay), manakala seorang lagi ditahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas.
Menurut kenyataan itu lagi, pihak imigresen turut mengeluarkan dua Borang Imm.29 (Saman Kepada Saksi) kepada pihak berkaitan bagi membantu siasatan lanjut.
Kesemua PATI yang ditahan berusia antara 27 hingga 53 tahun itu dibawa ke Depot Imigresen Belantik untuk proses dokumentasi dan tindakan undang-undang susulan.
JIM Kedah menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras kehadiran warga asing tanpa izin, selain tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan atau individu yang didapati melindungi serta menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah.