Ambulans bawa remaja cedera terlibat kemalangan

Foto ihsan PDRM

BESUT, 10 Jun – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun cedera parah selepas ambulans yang membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan, terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah kereta di Jalan Jerteh–Pasir Akar berhampiran Kampung Cherang Meliling, Jerteh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pesakit daripada kemalangan berasingan sedang dihantar ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut.
  • Polis berkata sebuah MPV dipercayai melintas dari bahu kanan lalu bertembung dengan ambulans.
  • Ambulans hilang kawalan, melanggar kereta diparkir yang terjatuh ke longkang; seorang parah, seorang lagi cedera ringan; siasatan sedang dijalankan.

Ketika kejadian, mangsa yang sebelum itu cedera dalam kemalangan berasingan sedang dihantar ke Hospital Besut bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd. Rozaime Ab. Rahim berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah MPV dipercayai melintas dari bahu jalan sebelah kanan sebelum bertembung dengan ambulans berkenaan.

“Akibat pelanggaran tersebut, ambulans berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan kiri dan melanggar sebuah kereta yang diparkir di lokasi kejadian sehingga menyebabkan kenderaan itu terjatuh ke dalam longkang,” katanya.

Beliau berkata, seorang pesakit lelaki berusia 16 tahun yang berada di dalam ambulans mengalami kecederaan parah, manakala seorang lagi pesakit hanya cedera ringan.

Kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Besut untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala individu lain yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mohd. Rozaime turut memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.

Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas serta memberi laluan dan keutamaan kepada kenderaan kecemasan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.