
RAUB, 9 Jun – Sebuah rumah di Felda Tersang 3, di sini yang dihuni warga emas musnah kira-kira 90 peratus dalam kebakaran yang berlaku awal pagi tadi.
- Warga emas Hamid Ibrahim, 65 tahun selamat dan tidak mengalami kecederaan.
- Pasukan bomba memadam menggunakan satu aliran salur bantu dan satu hos 300 kaki, kebakaran dikawal dan overhaul diteruskan.
- Unit Forensik Bomba dimaklumkan untuk siasatan lanjut, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa dalam kenyataan memaklumkan, warga emas tersebut Hamid Ibrahim, 65 tahun selamat dan tidak mengalami kecederaan.
Jentera bomba tiba di lokasi pada pukul 6.18 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal berkeluasan kira-kira 70 x 100 kaki persegi.
“Pasukan bomba bertindak memadamkan kebakaran menggunakan satu aliran salur bantu mula serta satu aliran hos sepanjang 300 kaki dengan sumber air daripada tangki pam jentera bomba.
“Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 6.44 pagi dan operasi diteruskan dengan kerja-kerja overhaul bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula,” menurut kenyataan itu.
Unit Forensik Bomba telah dimaklumkan bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kejadian. Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.