
KOTA BHARU, 8 Jun – Sebanyak 15 kediaman musnah dalam kebakaran di Kampung Cina, Kota Bharu, kira-kira pukul 12.34 tengah hari tadi.
- Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
- Rumah rapat dan kayu memudahkan penyebaran api; hampir 10 rumah berhampiran diselamatkan.
- Seramai 38 anggota JBPM Kelantan dikerah untuk menjalankan operasi pemadaman.
- Operasi guna air pili bomba dan Sungai Kelantan, api dikawal sekitar pukul 2.26 petang; punca dan kerugian disiasat.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Penguasa Kanan Bomba II Khairul Ariffin Che Ramli berkata, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Kedudukan rumah yang terlalu rapat menyebabkan api mudah merebak ke kediaman berhampiran.
“Kedudukan rumah di sini agak rapat. Kebanyakannya merupakan rumah kayu dan jarak antara satu sama lain sangat dekat. Keadaan itu menyebabkan kebakaran sangat mudah merebak.
“Hampir 10 buah rumah di sekeliling kawasan ini berjaya kita selamatkan,” katanya kepada pemberita di sini.
Seramai 38 anggota termasuk pegawai dari JBPM Kelantan dikerah ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman.
Operasi memadam kebakaran menggunakan sumber air daripada pili bomba serta Sungai Kelantan terletak berhampiran berjalan lancar dan api berjaya di kawal kira-kira pukul 2.26 petang.
Sementara itu, mangsa yang ditemui menyifatkan kebakaran berlaku sangat pantas sehingga ada kalangan mereka tidak sempat menyelamatkan harta benda.
“Saya terus bangun dan mencari anak dahulu. Saya tak ingat anak pergi sekolah. Apabila tahu anak sudah pergi ke sekolah, saya rasa lega. Tak apalah, yang penting anak kita selamat. Itu yang kita fikirkan dahulu. Rumah saya baru sahaja siap dibina dalam bulan puasa,” kata mangsa, Miss San Ma.
“Saya dihubungi tadi. Ada orang beritahu rumah saya habis terbakar. Apabila saya balik, memang tiada apa-apa lagi, tinggal sehelai sepinggang. Saya tak boleh buat apa-apa. Nak masuk pun bomba tak bagi,” kata mangsa, Nazira Ibrahim.
Punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.