
PARIS, 8 Jun – Alexander Zverev akhirnya menamatkan penantian panjang untuk merangkul gelaran Grand Slam pertama dalam kariernya selepas menewaskan Flavio Cobolli pada aksi akhir Terbuka Perancis di Roland Garros, awal pagi tadi.
- Zverev menang 6-1, 4-6, 6-4, 6-7(5), 6-1 setelah perlawanan lima set, menunjukkan ketahanan mental dan fizikal.
- Beliau menjadi lelaki Jerman pertama menjuarai Grand Slam sejak Boris Becker, dan pemain Jerman pertama menjuarai Roland Garros.
- Selepas tiga tewas dalam final Grand Slam sebelum ini, Zverev akhirnya memecahkan kebuntuan dan menjuarai Trofi Musketeers.
- Beliau alami kekejangan dan tekanan emosi, namun kini lebih berkeyakinan; Cobolli berbangga capai final Grand Slam pertama.
Pemain pilihan kedua dari Jerman itu bangkit mempamerkan ketahanan mental dan fizikal untuk menewaskan Cobolli 6-1, 4-6, 6-4, 6-7(5), 6-1 dalam perlawanan yang berlarutan lima set.
Kejayaan tersebut menjadikan Zverev lelaki pertama dari Jerman memenangi gelaran Grand Slam sejak Boris Becker menjuarai Terbuka Australia kira-kira 30 tahun lalu, selain muncul pemain lelaki Jerman pertama menjuarai Roland Garros.
Sebelum ini, Zverev tewas dalam tiga perlawanan akhir Grand Slam, termasuk di Roland Garros pada 2024, namun kali ini beliau berjaya memecahkan kebuntuan untuk menjulang Trofi Musketeers yang menjadi idamannya.
Pemain berusia 29 tahun itu mengakui berdepan kekejangan dan tekanan emosi sepanjang perlawanan, terutama ketika set keempat.
“Saya mengalami kekejangan dan sedikit bergelut dari segi fizikal, tetapi saya rasa ia lebih kepada tekanan mental. Saya terlalu tegang dan emosional.
“Mungkin kekejangan itu membantu saya melepaskan tekanan dan bermain dengan lebih bebas. Saya gembira dapat duduk di sebelah trofi yang indah ini buat kali pertama,” katanya.
Zverev berkata kejayaan itu cukup bermakna memandangkan Roland Garros menyimpan pelbagai kenangan pahit sepanjang kariernya, termasuk kecederaan serius yang pernah dialaminya di gelanggang sama serta kekalahan dalam final Grand Slam.
“Semua kenangan pahit itu masih ada, tetapi kemenangan ini mengatasi semuanya,” katanya.

Beliau turut mengakui kejayaan tersebut memberikan keyakinan baharu dalam usahanya memburu lebih banyak gelaran utama pada masa depan.
“Walau apa pun yang berlaku selepas ini, saya akan sentiasa dikenang sebagai juara Grand Slam dan tiada siapa boleh mengambilnya daripada saya.
“Jika saya tewas kali ini, keyakinan diri mungkin merosot dengan ketara. Namun sekarang saya percaya saya mampu melakukannya lagi,” katanya.
Sementara itu, Cobolli tetap berbangga dengan pencapaian terbaik dalam kariernya selepas mara ke perlawanan akhir Grand Slam pertama.
Pemain Itali itu menyifatkan Zverev sebagai juara yang layak berdasarkan pengalaman dan konsistensinya di peringkat tertinggi sejak sedekad lalu.
“Saya tidak pernah menjangkakan mampu mencapai keputusan seperti ini. Saya bangga dengan diri sendiri dan apa yang telah saya lakukan sepanjang dua minggu ini.
“Ini aksi akhir Grand Slam pertama saya dan saya akan terus mencuba untuk kembali ke pentas seperti ini,” katanya. – REUTERS