PBAKL 2026 cipta rekod baharu, lebih 2.4 juta pengunjung hadir

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 terus membuktikan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia kekal subur apabila mencatat kehadiran lebih 2.4 juta pengunjung, sekali gus mencipta rekod baharu dalam sejarah penganjurannya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jumlah kehadiran PBAKL 2026 direkodkan 2,416,009 pengunjung sehingga pukul 6 petang hari terakhir.
  • Trend meningkat sejak 2023: 1.6 juta (2023), 1.8 juta (2024), 2.1 juta (2025), menunjukkan minat pembacaan berkembang.
  • PBAKL disertai 232 syarikat pempamer dengan 1,210 reruai; 209 tempatan dan 23 antarabangsa.
  • Kerajaan MADANI dan Kementerian Pendidikan komited kukuhkan ekosistem pembacaan melalui Baucar Buku MADANI serta platform buku digital.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, setakat pukul 6.00 petang hari terakhir penganjuran, seramai 2,416,009 pengunjung direkodkan mengunjungi PBAKL 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Menurut beliau, angka tersebut mengatasi rekod tahun lalu iaitu 2.1 juta pengunjung, sekali gus meneruskan trend peningkatan kehadiran yang dicatatkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Pada tahun 2023, jumlah pengunjung adalah 1.6 juta orang, meningkat kepada 1.8 juta pada 2024 dan 2.1 juta pada 2025. Tahun ini sekali lagi kita berjaya memecahkan rekod dengan kehadiran melebihi 2.4 juta pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan PBAKL 2026 di WTCKL, hari ini.

Wong berkata, sambutan luar biasa yang diterima sehingga hari terakhir penganjuran membuktikan minat masyarakat terhadap buku dan pembacaan terus berkembang, meskipun sesi persekolahan akan bermula semula pada keesokan harinya.

Dalam pada itu, beliau berkata PBAKL 2026 disertai 232 syarikat pempamer melibatkan 1,210 reruai, termasuk 209 pempamer tempatan dan 23 pempamer antarabangsa.

Katanya, penyertaan memberangsangkan itu mencerminkan perkembangan positif industri pembukuan negara yang semakin matang, mantap dan dinamik.

Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan MADANI dan Kementerian Pendidikan untuk terus memperkukuh ekosistem pembacaan negara melalui pelbagai inisiatif termasuk pelaksanaan Baucar Buku MADANI serta pembangunan platform buku digital yang memperluaskan akses rakyat kepada bahan bacaan berkualiti.

PBAKL 2026 berlangsung selama 10 hari bermula 29 Mei lalu dengan Arab Saudi dipilih sebagai negara tamu manakala Pahang sebagai negeri tamu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.