
LONDON, 7 Jun – Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya yang dikenali sebagai OPEC+ dijangka bersetuju untuk melaksanakan peningkatan sasaran pengeluaran minyak buat kali keempat dalam tempoh empat bulan berturut-turut.
- Konflik AS dan Iran menghalang beberapa anggota OPEC+ meningkatkan pengeluaran.
- Gangguan laluan minyak melalui Selat Hormuz mencetuskan krisis bekalan terbesar dunia.
- Keputusan UAE keluar OPEC selepas hampir 60 tahun menambah kerumitan kepada krisis bekalan.
- Tujuh anggota dijangka menaikkan sasaran sekitar 188,000 tong sehari mulai Julai, keputusan muktamad belum dibuat.
Menurut tiga sumber OPEC+ yang dipetik laporan REUTERS, langkah itu dijangka dilaksanakan meskipun konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran masih menghalang beberapa anggota kumpulan itu daripada meningkatkan pengeluaran.
Konflik tersebut telah menjejaskan aliran bekalan minyak melalui Selat Hormuz, sekali gus mencetuskan krisis bekalan terbesar dunia apabila beberapa anggota utama OPEC+, termasuk Arab Saudi, tidak dapat memenuhi sepenuhnya permintaan pelanggan sejak akhir Februari lalu.
Krisis OPEC+ turut bertambah rumit selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE) meninggalkan OPEC selepas hampir 60 tahun menjadi anggota.
Sejak April hingga Jun, tujuh anggota utama OPEC+,yang merangkumi negara-negara OPEC dan sekutu pengeluar minyak termasuk Rusia, telah meningkatkan kuota pengeluaran hampir 600,000 tong sehari.
Bagaimanapun, pengeluaran sebenar kumpulan itu merosot berikutan pengurangan eksport oleh beberapa negara Teluk, dengan purata pengeluaran sebanyak 33.19 juta tong sehari pada April berbanding 42.77 juta tong sehari pada Februari.
Menurut sumber berkenaan, tujuh negara terbabit berkemungkinan meningkatkan sasaran pengeluaran sekitar 188,000 tong sehari mulai Julai.
Jumlah itu sama seperti kenaikan pada Jun, yang telah diselaraskan daripada peningkatan bulanan sebanyak 206,000 tong sehari pada April dan Mei bagi mengambil kira pengunduran UAE daripada OPEC.
Kesemua sumber yang enggan dikenali itu berkata keputusan muktamad masih belum dibuat.
Tujuh daripada 21 anggota OPEC+ dijadual bermesyuarat hari ini termasuk Arab Saudi, Iraq, Kuwait, Algeria, Kazakhstan, Rusia dan Oman.
Mesyuarat penuh peringkat menteri OPEC+ turut dijadualkan berlangsung namun tidak dijangka membuat sebarang perubahan dasar.