
KUALA LUMPUR, 7 Jun – Parti Tindakan Demokratik (DAP) akan bertanding 17 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
- Jumlah kerusi meningkat berbanding 14 kerusi yang ditandingi pada PRN Johor 2022.
- DAP akan mempertahankan 10 kerusi yang dimenangi pada pilihan raya lalu dan bertanding semula di empat kerusi tewas sebelum ini.
- Tiga kerusi tambahan sedang dalam pertimbangan, manakala satu lagi hampir dimuktamadkan selepas rundingan PKR dan Amanah.
- Perkembangan politik negeri tidak menjejaskan urusan pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang terus berjalan seperti biasa.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata jumlah itu meningkat berbanding 14 kerusi yang ditandingi parti berkenaan pada PRN Johor 2022.
Menurut beliau, DAP akan mempertahankan 10 kerusi yang dimenangi pada pilihan raya lalu, selain bertanding semula di empat kerusi yang tewas sebelum ini.
“Ketika ini, terdapat tiga lagi kerusi tambahan yang sedang dalam pertimbangan. Secara keseluruhan, DAP dijangka bertanding di 17 kerusi pada PRN Johor akan datang.
“Terdapat satu lagi kerusi yang hampir dimuktamadkan susulan rundingan akhir antara PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan Amanah.
“Keputusan muktamad dijangka dicapai dalam tempoh satu atau dua hari lagi. Oleh itu, pengumuman rasmi mengenai kerusi berkenaan belum dapat dibuat pada masa ini.
“Bagaimanapun, saya boleh mengesahkan bahawa DAP akan bertanding di 17 kerusi pada PRN Johor akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis Pelancaran Dokumentari 60 Tahun Perjalanan DAP di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata DAP bertekad mempertahankan kesemua 11 kerusi yang dimenangi parti itu pada PRN Negeri Sembilan akan datang.
Jelas beliau, keputusan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibuat secara persetujuan bersama oleh kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) negeri berkenaan.
Beliau berkata perkembangan politik di peringkat negeri tidak menjejaskan hubungan kerja mahupun urusan pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang terus berjalan seperti biasa.