
MEXICO CITY, 7 Jun – Pemain skuad kebangsaan Iran hanya dibenarkan memasuki Amerika Syarikat (AS) pada hari perlawanan Piala Dunia mereka, kata Duta Iran ke Mexico Abolfazl Pasandideh, menurut laporan media pada Sabtu.
- 15 pegawai Persekutuan Bola Sepak Iran masih belum menerima visa AS untuk kejohanan.
- Pihak berkenaan berharap visa diperoleh sebelum perlawanan pertama menentang New Zealand pada 15 Jun.
- Semua pemain menerima visa untuk masuk Mexico; perlawanan peringkat kumpulan Iran dijadualkan berlangsung di AS.
“Mereka boleh memasuki AS pada waktu pagi dan perlu meninggalkan negara itu pada hari yang sama,” kata Pasandideh seperti dipetik media Mexico.
Pasandideh turut memberitahu pemberita di Tijuana, menurut terjemahan bahasa Sepanyol oleh seorang jurubahasa, bahawa seramai 15 pegawai Persekutuan Bola Sepak Iran masih belum menerima visa untuk memasuki AS bagi kejohanan Piala Dunia yang bermula Khamis ini.
Bagaimanapun, mereka berharap visa berkenaan dapat diperoleh sebelum perlawanan pertama Iran menentang New Zealand pada 15 Jun.
Menurut media Iran, Presiden Persekutuan Bola Sepak Iran Mehdi Taj dan pengurus logistik pasukan antara yang terjejas.
Semua anggota skuad Iran telah menerima visa untuk memasuki Mexico, yang menjadi tuan rumah bersama kejohanan dari 11 Jun hingga 19 Julai itu dengan AS dan Kanada.
Kesemua perlawanan peringkat kumpulan Iran berlangsung di AS.
Perang antara Iran dan AS bermula pada Februari, sekali gus menimbulkan keraguan sama ada pasukan Iran dapat memasuki AS untuk kejohanan bola sepak itu.
Dua perlawanan pertama Iran, iaitu menentang New Zealand pada 15 Jun dan Belgium pada 21 Jun, dijadual berlangsung di Los Angeles. Iran kemudian dijadual bertemu Mesir pada 26 Jun di Seattle, di negeri Washington di barat laut AS.- BERNAMA