Kes Ebola meningkat di DR Congo dan Uganda cecah 471

Foto AFP

GENEVA, 7 Jun – Jumlah kes Ebola yang disahkan di Republik Demokratik Congo (DR Congo) dan Uganda terus meningkat kepada 471 kes, menurut kemas kini epidemiologi harian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

RINGKASAN BERITA AI
  • DR Congo rekod 452 kes dan 82 kematian; Uganda 19 kes dan dua kematian.
  • Dalam 24 jam dilaporkan 100 kes baharu dan 20 kematian, menunjukkan penularan aktif dalam komuniti.
  • WHO dan Africa CDC melancarkan pelan kesiapsiagaan serta tindak balas wabak Ebola peringkat benua.
  • Pelan mensasarkan kutipan dana AS$518 juta Jun hingga Nov 2026 untuk pengesanan awal, pencegahan dan tindak balas pantas.

Daripada jumlah itu, DR Congo mencatatkan 452 kes dengan 82 kematian, manakala Uganda merekodkan 19 kes dengan dua kematian.

WHO memaklumkan dalam tempoh 24 jam sahaja, sebanyak 100 kes baharu dan 20 kematian dilaporkan, sekali gus menunjukkan penularan aktif masih berlaku dalam komuniti di kedua-dua negara.

Situasi ini menimbulkan kebimbangan apabila jangkitan terus merebak walaupun usaha kawalan dan rawatan sedang dipertingkatkan oleh pihak kesihatan tempatan dan antarabangsa.

Susulan perkembangan itu, WHO bersama Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC) telah melancarkan pelan kesiapsiagaan dan tindak balas wabak Ebola peringkat benua.

Pelan tersebut bertujuan memperkukuh penyelarasan bantuan, meningkatkan kesiapsiagaan negara terlibat serta melindungi keselamatan kesihatan di seluruh Afrika.

Inisiatif berkenaan menyasarkan kutipan dana sebanyak AS$518 juta bagi tempoh Jun hingga November 2026, bagi membolehkan pengesanan awal, pencegahan dan tindak balas pantas terhadap penularan wabak.

WHO dan Africa CDC menegaskan kerjasama rentas negara amat penting bagi mengekang penularan Ebola daripada terus merebak ke kawasan lain.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.