Pentagon bimbang aktiviti risikan Israel sasar pegawai kanan AS

Foto AFP

WASHINGTON, 7 Jun – Pentagon meningkatkan pemantauan terhadap aktiviti risikan Israel susulan kebimbangan terhadap cubaan mendapatkan maklumat sulit melibatkan pegawai kanan Amerika Syarikat (AS).

RINGKASAN BERITA AI
  • DIA menilai Israel mempunyai keupayaan tinggi mendapatkan maklumat risikan melalui sumber manusia dan pemantauan teknikal.
  • Ada dakwaan Israel cuba memperoleh maklumat tentang perbincangan dalaman serta proses membuat keputusan pentadbiran Trump mengenai konflik Asia Barat.
  • Laporan menyatakan usaha memintas komunikasi beberapa pegawai kanan AS termasuk perunding Trump Steve Witkoff dan pegawai dasar Elbridge Colby.
  • Perkembangan menambah tekanan hubungan Washington dan Tel Aviv; Trump dilapor marah terhadap Netanyahu, bimbang ancaman membom Beirut menjejaskan rundingan AS dengan Iran.

Media tempatan yang memetik pegawai AS melaporkan, Agensi Perisikan Pertahanan (DIA) menilai Israel mempunyai keupayaan yang sangat tinggi untuk mendapatkan maklumat risikan sama ada melalui sumber manusia atau kaedah pemantauan teknikal.

Kebimbangan itu timbul susulan dakwaan bahawa Israel cuba memperoleh maklumat berkaitan perbincangan dalaman serta proses membuat keputusan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump berhubung konflik di Asia Barat.

Selain itu, media turut melaporkan terdapat usaha memintas komunikasi beberapa pegawai kanan AS, termasuk perunding utama Trump, Steve Witkoff dan pegawai dasar tertinggi Pentagon, Elbridge Colby.

Perkembangan tersebut menambah tekanan terhadap hubungan Washington dengan Tel Aviv yang dilaporkan semakin tegang meskipun kedua-dua pihak sebelum ini melancar serangan bersama ke atas Iran pada 28 Februari.

Ketegangan itu turut dikaitkan dengan perbezaan pendekatan antara Trump dan pemimpin Israel, Benjamin Netanyahu dalam mengurus konflik serantau yang masih berlarutan.

Awal minggu ini, Trump dilapor meluahkan kemarahan terhadap Netanyahu dalam perbualan telefon berhubung ancaman Israel untuk mengebom Beirut, ibu negara Lubnan.

Trump bimbang tindakan Netanyahu akan menjejaskan rundingan yang sedang berlangsung antara AS dan Iran. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.