Rakyat Iran tidak yakin rundingan dengan AS mampu bawa keamanan

Foto AFP

TEHRAN, 7 Jun – Rakyat Iran tidak yakin rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) mampu membawa keamanan berkekalan di Asia Barat, menurut tinjauan pendapat yang dijalankan China Media Group (CMG).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengalaman perang dan kehilangan ahli keluarga menyebabkan rakyat meragui keberkesanan rundingan diplomatik.
  • Ramai percaya Amerika lebih memilih tekanan ketenteraan dan sekatan daripada mencari penyelesaian adil.
  • Serangan udara di Minab dan kehilangan kanak-kanak memperdalam kesedihan serta kecurigaan terhadap niat AS dan Israel.

Pengalaman perang termasuk kehilangan anggota keluarga akibat konflik yang berlarutan menjadi antara faktor utama yang menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap usaha diplomatik tersebut.

Di wilayah Hormozgan di selatan Iran, keluarga mangsa masih berusaha membina semula kehidupan selepas serangan udara AS ke atas Sekolah Rendah Shajarah Tayyebeh di Minab pada 28 Februari lalu.

Serangan berkenaan mengorbankan lebih 160 orang, kebanyakannya kanak-kanak dan menjadi titik permulaan konflik terbuka antara AS, Israel dan Iran.

Seorang ibu yang kehilangan anak perempuannya dalam serangan itu, Marziyeh Haidari berkata, tragedi berkenaan meninggalkan kesan mendalam kepada keluarganya.

“Anak perempuan saya hidup dengan penuh impian dan harapan, tetapi Israel dan AS telah merampas peluang anak-anak kami untuk merealisasi impian tersebut,” katanya.

Berhubung rundingan terbaharu Iran-AS, ramai responden menyatakan mereka telah menyaksikan kegagalan dan pengkhianatan berulang kali dalam rundingan terdahulu.

Mereka berpendapat Washington lebih berminat menekan Iran melalui tindakan ketenteraan dan sekatan ekonomi berbanding mencari penyelesaian yang adil.

Seorang penduduk tempatan, Salehi berkata beliau tidak melihat sebarang peluang kejayaan dalam rundingan tersebut.

“Saya tidak fikir akan ada sebarang kemajuan. Saya tidak nampak peluang untuk rundingan ini berjaya kerana satu-satunya matlamat AS adalah memaksa Iran menyerah kalah,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohammad Reza pula berkata pengalaman negara-negara di Asia Barat menyebabkan ramai pihak meragui peranan AS dalam mewujudkan kestabilan serantau.

Menurut beliau, persepsi tersebut terus mempengaruhi pandangan rakyat Iran terhadap prospek rundingan antara Tehran dan Washington. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.