
TAPAH, 7 Jun – Polis sudah mengambil keterangan beberapa penduduk Orang Asli yang menemukan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, di Kampung Lubuk Gaharu, semalam.
- Keterangan saksi diperlukan untuk melengkapkan siasatan dan memahami keadaan penemuan mangsa.
- Polis menunggu keadaan Jaslinda stabil supaya keterangan mangsa dapat direkodkan.
- Jaslinda menerima rawatan di Hospital Tapah akibat kecederaan buku lali kaki kiri.
- Dilaporkan hilang 23 Mei semasa sertai ekspedisi Trans Spencer Chapman dan ditemukan selamat selepas 14 hari.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Abdul Malik Hashim berkata, individu tersebut termasuk Nazri Bah Eng bersama dua rakannya yang membantu menyelamatkan mangsa.
Menurutnya, keterangan itu penting bagi membantu siasatan serta mendapatkan gambaran lengkap bagaimana mangsa ditemukan selepas 14 hari hilang di kawasan Gunung Batu Putih.
“Kami juga sedang menunggu keadaan Jaslinda stabil bagi membolehkan keterangan mangsa dapat diambil untuk melengkapkan siasatan kes,” katanya ketika dihubungi RTM hari ini.
Dalam perkembangan sama, Abdul Malik mengesahkan Jaslinda kini menerima rawatan di Hospital Tapah selepas mengalami kecederaan pada buku lali kaki kiri.
Katanya, mangsa masih berada di hospital untuk pemeriksaan lanjut sebelum sebarang keterangan rasmi dapat direkodkan pihak polis.
Selepas 14 hari dilaporkan hilang, Jaslinda Saludin berjaya ditemukan dalam keadaan selamat berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh oleh Orang Asli kira-kira 5 petang.
Jaslinda dilaporkan hilang pada 23 Mei lalu ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 peserta lain dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.