
BENGALURU, 6 Jun – Perancis dijangka menewaskan Sepanyol untuk menjulang trofi Piala Dunia 2026, manakala Brazil diramal menjadi pasukan paling mengecewakan, menurut tinjauan Reuters melibatkan ahli ekonomi dari seluruh dunia.
- Perancis teratas dalam tinjauan Reuters dengan 35% undian, diikuti Sepanyol 31%, menjadikan kedua-dua pasukan pilihan utama kejuaraan.
- Jika menang, Didier Deschamps boleh jadi jurulatih pertama sejak 1938 menang dua Piala Dunia dan juara sebagai pemain dan jurulatih.
- Kylian Mbappé pilihan utama untuk Anugerah Bola Emas dan Kasut Emas, mengatasi Harry Kane dalam ramalan tinjauan.
Tinjauan yang dijalankan antara 11 Mei hingga 5 Jun itu melibatkan 160 responden dari hampir setiap benua, dengan majoriti menyifatkan ramalan kejohanan bola sepak terbesar dunia itu lebih sukar berbanding unjuran inflasi.
Perancis menerima 35 peratus undian untuk muncul juara, mengatasi Sepanyol yang meraih 31 peratus, sekali gus meletakkan kedua-dua pasukan Eropah itu sebagai pilihan utama kejuaraan.
Argentina selaku juara bertahan, bersama Portugal dan England melengkapkan lima pasukan pilihan utama dalam tinjauan berkenaan.

Menurut laporan itu, keputusan tersebut turut selari dengan trend platform pertaruhan antarabangsa yang meletakkan Perancis sebagai pilihan utama.
Sekiranya berjaya, pengendali Perancis, Didier Deschamps akan mencipta sejarah sebagai jurulatih pertama sejak Vittorio Pozzo pada 1938 yang memenangi dua gelaran Piala Dunia.
Beliau juga berpotensi menjadi satu-satunya individu yang memenangi Piala Dunia sebagai pemain (1998) dan jurulatih.
Bintang Perancis, Kylian Mbappe turut menjadi pilihan utama untuk meraih Anugerah Bola Emas (Golden Ball) dan Kasut Emas (Golden Boot), mengatasi kapten England, Harry Kane.
Mbappe baru sahaja menamatkan musim cemerlang bersama Real Madrid, manakala Kane mencatat musim terbaik bersama Bayern Munich dengan 61 gol.
Kedua-dua pemain itu kini memburu rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia milik legenda Jerman, Miroslav Klose dengan 16 gol.
Setakat ini, Mbappe telah menjaringkan 12 gol di Piala Dunia, Kane (8 gol), manakala Lionel Messi mengumpul 13 gol.

Dalam tinjauan berkenaan, 73 peratus responden mengakui membuat ramalan berdasarkan “gerak hati” berbanding model atau data statistik, manakala sekitar 20 peratus menggunakan analisis data.
Seorang responden dari Bureau of Economic Research di Johannesburg, Shannon Bold, menyifatkan ramalan itu banyak bergantung kepada faktor subjektif.
“Seperti mana-mana model, ramalan ini tetap disesuaikan dengan sedikit ‘gut feeling’,” katanya.
Tinjauan sama turut mendapati Brazil menjadi negara paling mengecewakan, diikuti England dan Jerman, meskipun memiliki reputasi sebagai kuasa besar bola sepak dunia.
Sementara itu, Norway yang diketuai penyerang Manchester City, Erling Haaland, serta Jepun dikenal pasti sebagai antara pasukan underdog yang berpotensi mencipta kejutan.
Dalam kategori pemain muda, sensasi Sepanyol berusia 18 tahun, Lamine Yamal, muncul pilihan utama sebagai bintang masa depan kejohanan.
Penjaga gol Sepanyol, Unai Simon, serta Emiliano Martinez (Argentina) dan Mike Maignan (Perancis) pula menjadi antara pilihan utama untuk Anugerah Sarung Tangan Emas (Golden Glove). – REUTERS