Kerajaan benarkan pengunaan dana Program Berimpak Tinggi sehingga RM50 juta untuk TVET 2.0

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2026 di Dataran Putrajaya hari ini / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 6 Jun – Kerajaan membenarkan penggunaan sehingga RM50 juta daripada Dana Program Berimpak Tinggi di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi menyokong pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) 2.0 yang memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran dalam bidang teknologi masa depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dana akan memperluas program latihan TVET, memberi pendedahan kepada bidang seperti kecerdasan buatan, teknologi kripto dan peralihan tenaga.
  • Penggunaan dana tertakluk syarat kerjasama erat antara kerajaan dan pihak industri bagi memastikan pelaksanaan program tersusun.
  • Penglibatan aktif industri penting untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan memenuhi keperluan pelabur teknologi baharu.
  • TVET 2.0 memperbaharui sistem latihan dengan penekanan pada bidang strategik bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan transformasi digital.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan tersebut bertujuan memperkukuh ekosistem TVET agar lebih selari dengan keperluan industri semasa serta perkembangan teknologi baharu.

Menurut beliau, dana tersebut akan digunakan bagi memperluas program latihan dan pendedahan kepada pelajar TVET khususnya dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi kripto dan peralihan tenaga.

“Bagaimanapun, penggunaan dana itu tertakluk kepada syarat kerjasama erat antara kerajaan dan pihak industri bagi memastikan pelaksanaan program lebih tersusun serta memenuhi keperluan sebenar pasaran pekerjaan,” jelasnya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari TVET Negara 2026 di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, penggunaan dana itu bagaimanapun bersyarat iaitu pihak majikan dan industri perlu bekerjasama erat dengan kerajaan bagi menjayakan agenda TVET 2.0.

Datuk Seri Anwar berkata, penglibatan aktif industri amat penting dalam usaha melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi, sekali gus menyokong keperluan pelabur yang semakin menuntut kemahiran khusus dalam bidang teknologi baharu.

Jelasnya, pendekatan itu juga dapat memastikan graduan TVET memiliki kemahiran yang relevan dan berdaya saing dalam menghadapi perubahan landskap ekonomi serta transformasi digital negara.

TVET 2.0 diperkenalkan sebagai langkah memperbaharui sistem latihan kemahiran negara dengan memberi penekanan kepada bidang-bidang strategik yang dijangka menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.