
KUALA LUMPUR, 4 Jun – Pengukuhan nilai akhlak disokong penguasaan pelbagai ilmu merupakan usaha membangunkan negara MADANI dalam mendepani kemajuan teknologi yang sedang rancak berkembang di seluruh dunia.
- Teras MADANI ialah nilai, akhlak dan iman; ilmu mesti diamalkan berasaskan akidah kukuh.
- Kemajuan teknologi dan AI penting; umat Islam perlu menguasai ilmu untuk kekal berdaya saing.
- Kehebatan ilmu tidak mencukupi tanpa pengukuhan nilai dan amalan akhlak bagi manfaat masyarakat.
- Pemimpin menggalakkan pendidikan, inovasi dan penghayatan akidah melalui acara ilmu dan solat berjemaah bersama masyarakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendekatan itu bagi memastikan kemajuan sesebuah negara itu tidak hanya bersandarkan kepada pembangunan fizikal semata-mata tanpa berteraskan pengukuhan akidah dan nilai kemanusiaan.
“Hari ini, semua negara di dunia berlumba-lumba mengejar kemajuan dan pembangunan, malah banyak negara memberi tumpuan kepada penguasaan kecerdasan buatan (AI) sebagai pemacu masa depan.
“Namun apabila kita bercakap mengenai negara MADANI, teras utamanya ialah nilai dan akhlak. Penguasaan ilmu sememangnya penting, tetapi ia tidak boleh dipisahkan daripada keperluan untuk memperkukuh iman, menambah ilmu pengetahuan dan memperbaiki akhlak.
“Apa ertinya jika kita sebagai Muslim menimba ilmu seperti orang lain, tetapi tidak mempunyai asas akidah dan akhlak yang kukuh? Sebab itu cabaran kita bukan sekadar mempamerkan kehebatan ilmu, tetapi mengamalkannya berlandaskan nilai, iman dan akhlak yang mantap,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ilmu MADANI di Masjid Al-Sultan Abdullah, Menara Merdeka 118 di ibu negara.
Penguasaan ilmu baharu dan teknologi terkini penting bagi memastikan umat Islam terus berdaya saing, sekali gus mampu memainkan peranan aktif dalam memacu inovasi serta menyumbang kepada kemajuan masyarakat, negara dan pembangunan masa depan.
“Sekiranya kita tidak menguasai ilmu dan teknologi, kita akan ketinggalan dalam arus kemajuan. Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk berada di belakang, sebaliknya menuntut kita membina tamadun berasaskan ilmu, keyakinan dan kecemerlangan.
“Islam berkembang dan dihormati kerana kekuatan ilmu serta tamadunnya, yang membolehkan umatnya memberi pengaruh dan sumbangan kepada rantau serta dunia. Namun, ilmu yang dikuasai itu mestilah berteraskan akidah yang kukuh dan disertai akhlak yang baik agar kemajuan yang dicapai membawa manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri sempat beramah mesra dengan orang ramai yang hadir sebelum menunaikan solat maghrib secara berjemaah bersama lebih 1,000 jemaah yang terdiri daripada orang awam, para pelajar tahfiz dan kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).